Dua gol penyerang sensasi Argentina Lionel Messi pada minit ke-3 dan ke-45 membantu Argentina menjadi juara kumpulan F dalam kempen Piala Dunia di Brazil awal pagi tadi

Sekalipun pasukan itu telah layak ke pusingan seterusnya, jaringan itu penyerang berbisa kelab Barcelona itu membantu pasukannya menewaskan Nigeria dalam perlawanan sengit awal di Stadium Biera-Rio, Porte Alegre.

Nigeria turut memberi saingan sengit kepada Argentina apabila membalasnya dengan dua gol pada minit ke-4 dan ke-47.

Kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain tengah Ahmed Musa.

Gol kemenangan pasukan dari benua Amerika Selatan itu hadir pada minit ke-50 melalui jaringan peman pertahanan Marcos Rojo. Argentina menang semua tiga perlawanawan dengan mencatat sembilan mata.

Meskipun kalah, Nigeria layak ke peringkat seterusnya walaupun skuad Bosnia Herzegovina menang 3-1 ke atas Iran dalam satu lagi perlawananan bagi kumpulan yang sama.

Ini kerana Nigeria mengumpul empat mata selepas menang dan seri dalam dua perlawanan sebelum ini. Manakala Bosnia pula kalah dalam dua perlawanan sebelum ini.

Bagi kumpulan E pula pasukan Perancis dan Switzerland layak ke pusingan seterusnya selepas masing-masing dinobatkan sebagai juara dan naib juara jumpulan itu dalam perlawanan awal pagi tadi.

Perancis yang sebelum ini telah pun layak hanya mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan pasukan Ecuador manakala Switzerland menewaskan Honduras 3-0 melalui jaringan hatrik pemain tengah Xherdan Shaqiri.

Perancis mencatat tujuh mata, manakala Switzerland pula memperolehi enam mata.