'Sentimen isu Allah kerana kelemahan Najib'
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelemahan perdana menteri dan mahkamah menyebabkan perdebatan mengenai isu kalimah "Allah" kini dikuasai oleh "elemen tidak bertanggungjawab".
Beliau mengulas mengenai peluang untuk membahaskan larangan ke atas penerbitan Kristian The Herald dari menggunakan kalimah "Allah", susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, Isnin lalu.
"Malang sekali satu peluang penting untuk pemikiran yang berdasarkan logik dan kesedaran akan mengatasi sentimen menghasut dan ekstremis kini hilang," katanya.
Tambahnya, keputusan oleh Mahkamah Persekutuan, yang disifatkannya sebagai "bukan satu keputusan" itu, serta masalah kewibawaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga hanya meletakkan negara dalam keadaan bimbang dan tidak pasti
Menurutnya, keputusan rayuan The Herald itu merupakan isu perundangan dan perlembagaan yang penting dengan implikasi besar kepada rakyat Malaysia" dan Mahkamah Persekutuan bertanggungjawab menawarkan bimbingannya.
Beliau juga membangkitkan bahawa kenyataan kontroversi PERKASA berhubung saranan untuk memenggal kepala golongan yang mempersenda Islam dan sultan juga berpunca dari kegagalan mahkamah untuk mendengar kes tersebut.
"Apa yang membimbangkan, PERKASA juga mencadangkan untuk memenggal kepala golongan yang tidak bersetuju dengannya.
"Badan kehakiman tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya; melalui tindakan tidak membuat keputusan, ia membenarkan elemen tidak bertanggungjawab seperti PERKASA, ISMA dan Umno mengambil alih wacana negara...," katanya.

