Kes rebut anak: Menteri serah pada polis
Penyelesaian kepada kes hak jagaan anak pasangan berlainan agama yang tergantung sehingga kini masih gagal ditemui.
Ketika ditanya pendapatnya menyelesaikan isu tuntutan M Indira Gandhi supaya anaknya dipulangkan selepas dilarikan bekas suaminya yang Islam, menteri dalam negeri memilih menyerahkan penyelesaian kepada polis.
"Saya serahkan perkara itu kepada polis," kata Datuk Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya wartawan di sebuah acara hari ini.
Peguam Indira, M Kulasegaran hari ini mempersoalkan sekiranya Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar boleh bertindak melampaui undang-undang, berdasarkan kenyataan terbarunyaberhubung kes itu.
Beliau juga melihat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Zahid gerun dengan ketua polis negara.
MP Ipoh Barat itu seterusnya menggesa Khalid meletak jawatan sekiranya hati nuraninya menghalang beliau menjalankan tugas.
Kulasegaran mewakili Indira dalam kes perebutan hak jagaan anak dengan bekas suami, S Pathmanathan yang kini dikenali dengan nama Riduan Abdullah.
Khalid semalam menyatakan bahawa polis tidak akan menahan Patmanathan dan hanya akan memerhatikannya, walaupun Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014 sudah mengeluarkan perintah untuk berbuat demikian.

