Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melanjutkan tempoh sah baucar Saringan Kesihatan (HSP) 2013 yang akan tamat pada 30 Jun ini kepada 31 Disember ini.
Ketua Eksekutifnya Datuk K Selvarajah berkata keputusan itu bagi memberi faedah kepada ribuan pekerja yang masih belum menjalani HSP di samping menyahut hasrat kerajaan untuk menyediakan kemudahan pencegahan awal penyakit tidak berjangkit.
"Semua pencarum Perkeso dinasihatkan untuk menggunakan peluang ini bagi merancang waktu yang sesuai bagi menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin.
"Pihak majikan juga diseru memberikan galakan kepada pekerja mereka untuk memanfaatkan kemudahan ini," katanya dalam kenyataan.
Melalui program HSP, sebanyak 1.9 juta baucar dihantar kepada pekerja di negara ini pada 2013 manakala 256,000 lagi dihantar kepada pekerja yang melangkaui umur 40 tahun pada tahun ini.
Sehingga Jun 2014, seramai 375,435 pencarum menjalani pemeriksaan kesihatan percuma ini sejak mula ditawarkan pada Januari 2013 dan 127,906 wanita pula menjalani pemeriksaan mamogram di 3,124 klinik swasta berdaftar dan 99 pusat mamogram di seluruh negara.
Dalam pada itu, katanya analisa awal mendapati risiko penyakit kardiovaskular terhadap status kesihatan pekerja-pekerja di Malaysia adalah membimbangkan di mana 72 peratus (270,313 orang) didapati mempunyai berat badan berlebihan dan 29 peratus (108,876) mengalami tekanan darah tinggi.
Sementara 25 peratus (93,858) mempunyai kandungan gula dalam darah yang berlebihan dan 61 peratus (229,015) pula mempunyai kandungan kolesterol dalam yang tinggi.
- Bernama
