Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

VIDEO | 0:34sec

Satu kepala lembu ditemui di hadapan rumah ADUN DAP Seri Delima, RSN Rayer di Jalan Tingkat Tembaga, Island Park pagi ini.

Rayer berkata ia ditemui isterinya ketika hendak menghantar anak perempuan mereka ke sekolah pada kira-kira jam 7 pagi.

Selepas diberitahu isterinya mengenai perkara itu, Ryer berkata beliau turun ke bawah dan ternampak kepala lembu itu di pintu pagar depan rumahnya.

"Kami tidak tahu siapa yang melakukannya dan mengapa. Kita tidak mahu membuat spekulasi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Bagaimanapun, pemilik kedai di depan rumah saya melihat kejadian itu, dan berkata seorang lelaki datang dengan menaiki motosikal dan melemparkannya ke sana," katanya.

Dengan jam 9 pagi, polis mengawal kawasan rumah berkembar Rayer itu dan mengambil kepala lembu itu untuk siasatan.

Rayer berkata polis juga merekodkan kenyataan beliau dan mengambil salinan rakaman CCTV.

"Rakaman itu menunjukkan lelaki yang tidak dikenali datang pada jam 5.58 pagi, dia memakai topi keledar dan (mukanya) ditutup sepenuhnya. Selepas dia melakukan perbuatan itu, dia menari," kata Rayer, sambil menunjukkan kepada pemberita klip CCTV itu.

"Adalah sukar untuk mengenal pastinya," katanya.

"Saya dan isteri saya terkejut melihat kepala lembu itu. Kami merasakan ia satu ancaman dan penghinaan kepada keluarga kami," katanya.

Rayer sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila melabelkan

pemimpin Umno sebagai 'celaka' dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bulan lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng, yang tiba di tempat kejadian pada jam 9.15 pagi berkata beliau terkejut dengan kejadian itu.

"Pelaku itu menghina seluruh masyarakat, bukan sahaja Rayer. Ini merupakan tindakan biadap dan ancaman kepada keselamatan negara," katanya.

Lim teringat kumpulan pro-Umno melakukan perbuatan yang sama di hadapan pejabat sekretariat Selangor di Shah Alam pada tahun 2009.

"Saya tidak menuduh kumpulan pro-Umno atas kejadian ini, tetapi mereka telah melakukan sesuatu yang sama pada tahun 2009, yang menghina masyarakat Hindu," kata Lim. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Pemuda MIC Kebangsaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab meletak kepala lembu di hadapan rumah ADUN Seri Delima terbabit.

Setiausahanya Arvind Krishnan berpandangan tindakan sedemikian adalah keterlaluan dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

    

"Saya memandang perkara ini sesuatu yang serius dan perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa kerana melibatkan sensitiviti kaum," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang bertanggungjawab meletak kepala lembu di hadapan kediaman Rayer itu.

"Ini negara berbilang kaum dan setiap orang harus menghormati agama orang lain," katanya dalam entri terkini Facebook beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS