Semangat belajar di madrasah pelarian
Mereka hanya menjadikan rumah sewa sebagai madrasah di Jalan Meru, Klang.
Dalam keadaan serba kekurangan, siapa sangka Madrasah Al- Islahiah Maahad Tahfizul Quran, menyimpan matlamat besar untuk kanak-kanak Rohingya.
Ditubuhkan pada Mei 2010, ia mempunyai 76 murid terdiri daripada 32 perempuan dan 44 lelaki, bermula daripada yang berumur 4 hingga 18 tahun.
Ia ditubuhkan khas Untuk masyarakat Rohingya setempat.
Pada sebelah pagi anak-anak ini belajar di sebuah rumah kedai berdekatan untuk mengikuti subjek asas seperti yang diajarkan di sekolah-sekolah di Malaysia.
Manakala pada waktu petang mereka akan ke Madrasah untuk belajar ilmu agama seperti al- Quran, tajwid dan tauhid.
Walaupun tidak sempurna seperti sekolah lain, pusat itu mempunyai harapan tinggi melahirkan pelarian yang berjaya, atau sekurang-kurang tidak keciciran dalam pendidikan.
Pengendali madrasah itu yang dikenali sebagai Ustaz Zakariah ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana masih ada yang sudi menghulurkan bantuan bagi menampung keperluan seharian mereka.
“Walaupun ada menerima bantuan dari NGO dan badan-badan kebajikan lain di negara ini sama ada dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang makanan, pakaian serta alat tulis , kami masih kekurangan dari segi makanan kerana satu hari kami menyediakan 10 kilogram beras.
“(Ia) tidak cukup untuk kanak-kanak Rohingya,” kata Zakaria, 48, yang sedang menginap di Malaysia selama 21 tahun.
Apa yang menarik, kebanyakan kanak-kanak pelarian di madrasah tersebut sudahpun fasih berbahasa Melayu serta lancar membaca dan menghafal ayat al-Quran.

