Dua beradik didenda belasah jurugambar
Dua beradik didapati bersalah kerana membelasah seorang jurugambar Utusan Malaysia Irwan Majid, 31, di perkarangan kompleks mahkamah di Kelantan, pada 18 Jun lalu.
Tertuduh pertama Abd Jalil Nor, 46, didenda RM1,600 manakala abangnya Zulkefle pula didenda RM1,400 oleh Majistret Mohd Isa Mohamad selepas kedua-duanya mengaku bersalah, lapor Utusan Malaysia .
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua beradik itu sengaja mencederakan jurugambar itu di tempat kejadian pada pukul 10:30 pagi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 32 kanun yang sama.
Sekiranya didapati bersalah kedua-dua mereka akan dipenjara setahun atau didenda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam laporan sama, Abd. Jalil berdepan satu lagi pertuduhan kerana menyebabkan kerosakan kamera milik Utusan Melayu (M) Berhad yang bernilai kira-kira RM18,000 pada masa sama di tempat kejadian.
Dakwaan tersebut mengikut Seyeksen 427 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan dipenjarakan sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Akhbar harian itu turut melaporkan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri.
Pada 18 Jun lalu, jurugambar akhbar harian itu cedera di kepala selepas ditumbuk bertalu-talu sebelum dipijak di kepala oleh dua beradik itu, yang dipercayai merupakan ahli keluarga kepada seorang wanita yang dijatuhi hukuman gantung kerana mengedar dadah jenis heroin.
Ketika itu kemera jurugambar dilapor dihempas salah seorang suspek ketika juru gambar itu sedang merakam gambar tertuduh diiringi keluar dari mahkamah.

