Laluan tren ke Gua Musang tak ditutup sepenuhnya
Kerja menaik taraf dan membaik pulih landasan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang mengalami kerosakan teruk di sektor Pantai Timur dari laluan Gemas, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan akan bermula pada 15 Ogos depan.
Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata kerja-kerja itu akan dilaksana setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam sahaja ketika tiada perkhidmatan tren pada waktu berkenaan.
"Secara keseluruhannya, hanya dua perkhidmatan sahaja yang dibatalkan daripada 12 perkhidmatan tren yang beroperasi di laluan Gemas ke Gua Musang," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan pek berbuka puasa kepada penumpang bersempena Ramadan tahun ini hari ini.
Beliau berkata KTMB menyediakan 6,000 pek berbuka puasa berupa air mineral, kurma dan biskut sepanjang Ramadan kali ini kepada penumpang KTMB.
- Bernama

