Dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dihempap sebatang pokok di Jalan Segambut Dalam, Mont Kiara di ibunegara petang semalam.

Pegawai Bomba dari Balai Bomba Sri Hartamas K Muggunthan berkata kejadian berlaku 6.30 petang ketika hujan lebat.

    

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Radzuan Mohamed, 34, dan Mohd Khairi Abdul Rahim, 30-an, maut di tempat kejadian, katanya ketika dihubungi.

    

Menurutnya kedua-dua mangsa tercampak ke dalam longkang sedalam semeter dan dibawa arus deras sejauh 50 meter dari tempat kejadian.

    

"Mayat mereka ditemui tersangkut pada timbunan kayu dan sampah-sarap di dalam longkang berkenaan," katanya.

    

Kedua-duanya mengalami kecederaan parah pada kepala dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, katanya.

    

Sementara itu Ketua Polis Sentul ACP R Munusamy mengesahkan menerima laporan kejadian.

Ops Noda

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Polis menahan 39 wanita warga asing dalam Ops Noda di sebuah kafe di Jalan Pudu malam tadi.

    

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata, kesemua wanita itu dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di dalam premis yang diserbu pada pukul 9.15 malam itu.

    

"Mereka yang ditahan ialah 20 wanita warga China, (18) Vietnam dan seorang wanita Myanmar.

    

Kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan namun ia masih dalam siasatan dengan Jabatan Imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

Katanya, kesemua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

- Bernama