Rakyat Sarawak, terutamanya penganut Kristian, tidak yakin dengan jaminan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan mengharamkan penggunaan kalimah 'Allah' terhadap Herald tidak menjejaskan mereka.

"Saya hargai kata-kata ketua menteri kita bahawa 'ia (keputusan mahkamah) tidak akan menjadi masalah kepada kita', dan saya memujinya kerana bersuara bagi rakyat Sarawak," kata ketua PKR Sarawak Baru Bian.

"Saya percaya niat beliau ikhlas berpegang pada apa yang dikatakannya selagi beliau berkhidmat sebagai ketua menteri.

"Tetapi saya tetap tidak yakin yang rakyat Sarawak tidak akan terjejas. Pernah berlaku insiden rampasan Alkitab di Sarawak, seperti di pelabuhan Kuching pada tahun 2008 dan 2011 serta serbuan pihak berkuasa agama di kedai-kedai buku Kristian di Sarawak.

"Ya, saya tahu ini berlaku sebelum Adenan menjadi ketua menteri. Tetapi mereka ambil kesempatan walaupun undang-undang negeri Sarawak tidak melarang penggunaan perkataan itu, tidak seperti di negeri-negeri lain di Malaysia," kata ADUN Ba'Kelalan itu.

Katanya, Adenan mungkin mempunyai niat yang baik, tetapi rakyat Sarawak tidak lupa bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam di Sabah dan Sarawak, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 4A Perlembagaan Sarawak.

[Baca berita penuh]