Ahli heret PKR ke mahkamah gugur keahlian
Seorang anggota PKR yang mengheret partinya sendiri ke mahkamah berhubung pemilihan penuh kontroversi parti itu kini bukan lagi anggotanya.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Tan Kee Kwong ( bawah ) berkata, ini kerana tindakan Nasharuddin Md Isa daripada cabang Ampang itu bertentangan dengan larangan dalam perlembagaan parti.
Fasal 44.1 perlembagaan PKR menyebut, tiada anggota boleh membawa perkara parti ke mana-mana mahkamah.
Nasharudin pada pada 27 Jun lalu memfailkan saman yang mendakwa proses pemilihan PKR di cabang Ampang pada 11 Mei lalu tidak telus selain wujudnya unsur-unsur penipuan.
Beliau menamakan tiga defendan iaitu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Johari Abdul, JPP dan Ketua PKR Ampang Zuraida Kamaruddin di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menurutnya, beliau membawa perkara tersebut ke mahkamah setelah dua bantahannya terhadap keputusan pemilihan cabang itu kepada jawatankuasa berkenaan tidak diambil tindakan.
Takkan mohon maaf, takkan rayu
Sementara itu, ketika dihubungi hari ini, Nasharuddin berkata beliau telah menjangkakan hukuman itu dan bersedia dengan tindakan lembaga disiplin PKR itu.
Beliau juga bertegas tidak akan mengemukakan sebarang permohonan maaf ataupun merayu untuk menyertai parti itu semula.
Di samping itu, katanya, saman yang dikemukakannya tetap diteruskan.
“ Saya tidak mahu merayu, kalau dulu saya nak merayu atau nak minta maaf. Saya tidak akan mengemukakan saman itu.
“ Saya takkan mohon maaf kerana apa yang saya buat tu betul dan writ saman akan diteruskan oleh peguam saya kepada ketiga-tiga defendan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

