Nasib naskhah Bible BM masih jadi teka-teki
Teka-teki sama ada Bible dalam bahasa Melayu dan Iban akan dikembalikan kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM) sehingga kini masih belum terjawab.
Bagaimanapun, “proses penyelesaian” berhubung status naskhah Bible yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu sedang dilaksanakan, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Penyelesaian sudah ditentukan dan dalam proses pelaksanaan. Saya tak boleh beri komen skarang sebab ia dah bermula.
"Saya akan umumkan kelak," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco negeri hari ini.
Tambahnya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara untuk membincangkan perkara itu.
JAIS pada 2 Januari lalu merampas 321 Bible bahasa Melayu dan Iban dari BSM.
Peguam Negara sebelum ini membuat keputusan menutup kes itu dan tidak membuat sebarang pendakwaan.
Khalid kemudiannya mengarahkan exconya bekerjasama dengan JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memulangkan Bible itu namun tidak diterima oleh kedua-dua badan agama negeri itu.
Sultan Selangor kemudiannya bertitah bahawa keputusan sama ada melupuskan atau memulangkan haruslah dibuat oleh pihak Peguam Negara dan mahkamah.

