Blogger Effi Nazrel Saharudin yang didakwa menghantar komen bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui Twitter, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa pihaknya akan mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

    

Peguam Syaredzan Johan yang mewakili Effi Nazrel selaku orang kena saman (OKS) memberitahu bahawa representasi itu akan dihantar pada minggu ini kepada Jabatan Peguam Negara atas alasan tiada kes yang boleh dibuktikan terhadap anak guamnya.

    

Sehubungan itu, Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan 16 Julai ini untuk pengurusan kes dan pada tarikh itu juga Syaredzan akan memaklumkan kepada mahkamah perkembangan representasi itu.

    

Pada 5 Jun lalu, Effi Nazrel yang turut dikenali sebagai 10befiend mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menghantar dua komen jelik pada akaun Twitter dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah kondominium di Taman Puncak Desa, Kepong dekat sini masing-masing jam 11.21 pagi dan 11.23 pagi pada 1 Jun 2013.

    

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Zalizan Lazarous.

- Bernama