Perkhidmatan monorel antara stesen Imbi dan Hang Tuah telah digantung sehingga diberitahu kelak susulan kejadian runtuhan terowong bawah tanah yang dalam pembinaan di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur, hari ini.

Berikutan penggantungan itu, perkhidmatan monorel hanya akan beroperasi antara Stesen Titiwangsa dan Stesen Imbi, dan antara Stesen KL Sentral dan Stesen Hang Tuah.

Dalam satu kenyataan, Rapid Rail Sdn Bhd berkata bas pengantara RaidKL disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen KL Sentral dan Stesen Titiwangsa.

Kenyataan itu menyebut kekerapan perkhidmatan bas pengantara bagaimanapun, bergantung kepada keadaan trafik.

"Penumpang dinasihatkan supaya membuat rancangan alternatif berikutan penutupan jalan," menurut Rapid Rail.

Penumpang yang merancang untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan LRT Ampang disyorkan supaya turun di stesen monorel Imbi dan berjalan ke Stesen LRT/Monorel Hang Tuah. Perjalanan mengambil masa kurang 10 minit.

Mereka yang merancang untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan  LRT Kelana Jaya dinasihatkan supaya menaiki monorel dari stesen Imbi ke stesen Bukit Nanas dan berjalan kaki ke stesen LRT Dang Wangi.

Terowong itu adalah sebahagian daripada projek jalan bawah tanah Pudu di bawah seliaan Dewan bandaraya Kuala Lumpur untuk mengurangkan kesesakan trafik di kawasan itu.

Kenyataan itu menyebut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur telah menasihatkan RapidKL supaya menggantung sementara perkhidmatan antara stesen Hang Tuah dan stesen Imbi untuk mengelakkan kesan selanjutnya terhadap hakisan tanah.

"Bagaimanapun, tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa struktur kami terjejas akibat insiden itu," menurut kenyataan daripada Rapid Rail, yang terletak di bawah Syarikat Prasarana Negara Berhad.

- Bernama