Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan mengadakan kempen khas di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, di Tasek Gelugor bagi memastikan murid-murid sekolah itu terhindar daripada jangkitan virus Ensefalitis Jepun (JE).

Pengarahnya Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata kempen yang akan diadakan pada Jumaat ini menekankan soal langkah-langkah pencegahan selain memberi pemahaman kepada murid-murid mengenai faktor yang boleh membawa kepada jangkitan virus itu.

"Kami mahu murid-murid faham apa yang sepatutnya mereka buat bagi mengelak daripada dijangkiti virus itu selain langkah-langkah lain yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak," katanya ketika dihubungi di Tasek Gelugor hari ini.

Seorang murid Tahun Enam sekolah itu disyaki dijangkiti virus JE dan kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, dekat Tasek Gelugor.

Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, pada awalnya dikatakan mengalami demam panas sejak 18 Mei lalu dan dimasukkan ke Hospital Kepala Batas selepas demamnya itu berlarutan sebelum dipindahkan ke hospital swasta itu pada 21 Mei.

- Bernama