Kerajaan akan menyiasat kontraktor yang bertanggungjawab ekoran mendapan di terowong seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Imbi Kuala Lumpur.

"Kita akan adakan siasatan, selepas siasatan selesai kita akan ambil tindakan ke atas kontraktor," kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kejadian mendapan jalan yang berlaku semalam sehingga menyebabkan jalan tar retak dan berlubang.

Dalam kejadian pagi semalam, sebahagian struktur terowong bawah tanah di simpang empat jalan itu runtuh sedalam lima meter setelah berlaku mendapan tanah dipercayai berpunca daripada paip air bawah tanah yang pecah.

DBKL berkata, kawasan terowong akan ditutup selama dua minggu untuk kerja-kerja baik pulih.

Katanya pihaknya sudah berbincang dan akan membuat kajian berhubung perkara itu.

Tengku Adnan juga memberitahu pemberita masalah kerosakan jalan di kawasan itu akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

"Kita harap (kerosakan) dalam masa dua minggu akan selesai.

"Saya minta maaflah Kuala Lumpur, perkara ini tak dijangka,” katanya.