Khidmat Datuk Bandar KL disambung setahun lagi
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib disambung setahun lagi.
Perlantikan itu sedang menunggu perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Adnan berkata demikian ketika pemberita meminta beliau mengulas mengenai datuk bandar Kuala Lumpur yang baru.
"Tidak (tamat perkhidmatan). Kita akan memanjangkan tempoh perkhidmatan datuk bandar yang ada sekarang.
"Kerja masih lagi belum selesai jadi saya berpendapat dalam tempoh satu tahun bagi datuk bandar Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media.
Tambahnya, langkah yang sama akan dilakukan bagi Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat yang akan tamat perkhidmatannya pada 1 Ogos.

