Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menyembunyikan masalah kemiskinan bandar dengan menahan golongan pengemis dan gelandangan.

Katanya, usaha itu sebaliknya bagi menyelamatkan golongan tersebut dengan memberi kaunseling dan motivasi untuk mengelakkan mereka dari terus hidup di jalanan.

“Istilah 'tangkapan' itu memberi konotasi salah, tapi (sebetulnya) 'menyelamatkan'. Kita bukan seperti Jabatan Imigresen yang mencari pendatang tanpa izin, bukan... Jangan kata 'tangkap' tapi kita 'menyelamatkan mereka'.

“Ini satu salah faham, seolah-olah kita cubu membersihkan mereka dari jalanan Kuala Lumpur agar kelihatan indah dan bersih. Tidak, kita fikir mereka perlu dibantu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sebaik sahaja golongan itu dibawa ke pusat jagaan, pekerja sosial akan mengenalpasti mereka mereka berada di jalanan, dan menyediakan bantuan untuk mencari kerja serta pemeriksaan kesihatan.

Kenyataannya itu mengulas mengenai Ops Qaseh – operasi secara besar-besaran yang dijangka akan dijalankan pada minggu depan untuk menahan golongan pengemis dan gelandangan di jalanan Kuala Lumpur.

Operasi berkenaan dikritik oleh kumpulan sukarelawan seperti Food Not Bombs Kuala Lumpur yang melihat Akta Orang-orang Papa 1977 yang dikuatkuasa bagi operasi seperti itu sebagai undang-undang lapuk.

Kolektif berkenaan melihat, akta tersebut tidak lagi bersifat manusiawi walaupun ia pada asalnya digubal untuk menyelamatkan warga jalanan tersebut dari terus tercicir.

Ia digambarkan demikian kerana pihak berkuasa boleh menggunakan akta tersebut untuk menahan golongan dianggap papa untuk tempoh sehingga tiga tahun.