Biarlah siasatan kekecohan berjalan, kata Wong Tack
Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack berkata OCPD Kuantan, Abdul Aziz Salleh mungkin telah "dikelirukan" oleh para pegawainya apabila beliau membuat kenyataan media mengenai kekecohan di luar ibu pejabat polis daerah Kuantan.
Wong (kiri) berkata pada masa kejadian itu, beliau berada bersama
dengan OCPD di tingkat tiga bangunan tersebut dan oleh itu tidak menyaksikan sendiri kejadian itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu, wajah-wajah mereka terbabit telah dirakam di video dengan jelas, dan siasatan harus dibiarkan berjalan.
"Jadi biarlah siasatan berjalan, saya lebih suka tidak membuat kenyataan. Saya menghormati OCPD, saya tahu beliau seorang gentlemen, tetapi beliau ada tugas untuk dilakukan sebagai seorang berpakaian seragam.
"Biar rakyat bercakap benar, biarkan siasatan diteruskan. Saya berharap OCPD akan melakukan perkara yang sama kerana kami kedua berada di tingkat tiga, "katanya kepada Malaysiakini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Aziz pada hari Selasa mengenai kejadian itu pada malam 23 Jun, di mana sekumpulan kira-kira 15 orang menyerang penyokong Himpunan Hijau yang berkumpul di luar balai polis itu untuk menunjukkan perpaduan bersama 16 aktivis anti-Lynas yang ditangkap awal hari itu.
Ketua Polis Daerah dilaporkan memberitahu Rakyat Post bahawa serangan itu mungkin kerana penyokong Himpunan Hijau menyebabkan kesesakan lalulintas di kawasan itu.
Beliau juga menafikan anggotanya menghalang aktivis daripada mencari perlindungan di balai polis berkenaan dan mengulangi bahawa polis telah campurtangan untuk menghentikan kekecohan itu. Di samping itu, tangkapan dibuat selepas aktivis membuat laporan polis.

