Tiada kejutan Eropah lwn Amerika Selatan
Selepas tamat aksi suku akhir minggu ini, empat pasukan terbaik dunia telah pun dikenali dan tiada sebarang kejutan yang dilihat.
Seperti dijangka dua pasukan Eropah dan dua dari Amerika Latin akan bertemu satu sama lain dalam pertemuan minggu hadapan.
Bagaimanapun untuk mengatakan saingan suku akhir ini mudah bagi mereka adalah amat tidak tepat.
Brazil hadir selepas berhempas pulas menewaskan pasukan paling konsisten setakat ini Columbia 2-1.
Pasukan tuan rumah itu bagaimanapun terpaksa mengharap gol dari pemain pertahanan David Luiz dan Thiago Silva yang turut mengekang pemain lincah James Rodriguez sepanjang 90 minit Sabtu lalu.
Malangnya pertemuan dengan Jerman akan menyaksikan Brazil tanpa kelibat bintang mereka Neymar yang disahkan patah tulang belakang akibat 'dilutut' pemain Columbia Juan Camilo Zuniga.
Jerman pula mengesahkan status sebagai pasukan kental pertahanan selepas pertunjukan cemerlang dari Penjaga Gawang Manuel Neuer dan pertahanan Mats Hummels memastikan Les Blues pulang awal.
Kedua-dua akan bertemu pada 9 Julai ini dengan Brazil mengharapkan tuah sebagai tuan rumah cukup untuk menghalang serangan Jerman yang diketuai Thomas Mueller dan kuda tua, Miroslav Klose.
Sementara itu perlawanan semalam tidak kurang sengit dengan Argentina menewaskan pasukan dinamit Belgium hanya menerusi satu gol.
Gol seawal minit kelapan oleh Gonzalo Higuan cukup untuk memastikan seluruh Buenos Aries bersorak lantaran ini merupakan pertama kali Argentina melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia dalam tempoh 24 tahun.
Saat-saat getir disaksikan apabila Marc Wilmots menjerit di tepi padang mahu meneruskan serangan bertali arus namun berjaya dipatahkan Argentina.
Satu lagi perlawanan antara Belanda dan Costa Rica menjadi satu-satunya perlawanan suku akhir yang terpaksa diheret ke masa tambahan dan penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat masa.
Dalam perlawanan di Arena Fonte Nova, awal pagi tadi bos Belanda Louis Van Gaal bertindak mengejutkan apabila menukar penjaga gawang utama Jasper Cillessen dengan Tim Krul beberapa minit sebelum masa tambahan berakhir.
Percaturan meletakkan penjaga gol Newcastle itu berjaya apabila Krul berjaya menepis dua sepakan penalti yang diambil oleh kapten Costa Rica, Bryan Ruiz dan Michael Umana
Dalam sejarah Piala Dunia, Belanda berjaya menewaskan Argentina tiga kali daripada empat pertemuan mereka di kejohanan ini sejak 1974.
Belanda dijangka menghadapi beberapa masalah untuk cuba mengekang pemain terbaik dunia Lionel Messi yang acapkali memecahkan barisan pertahanan lawan dengan hantaran terusnya.
Bagaimanapun trio serangan Belanda yang diterajui kapten Robin Van Persie, pemain Bayern Munich Arjen Robben dan Wesley Sneijder yang masih utuh dengan hantaran tajamnya tidak boleh dipandang rendah Argentina.

