Ketua Pemuda Umno Kluang, Khairul Anwar Rahmat menghulurkan salam perdamaian kepada MP DAP Kluang, Liew Chin Tong selepas beliau dihalang oleh ahli Umno untuk berada di bazar Ramadan minggu lepas.

Semalam, Khairul Anwar menjemput Liew (kanan) untuk bersama beliau di bazar Ramadan di Kluang bagi menjernihkan semula keadaan selepas kejadian tersebut.

"Selepas insiden wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat dihalang mengedar kurma di bazar Ramadan bandar Kluang baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Kluang menjemput kedua-dua wakil rakyat ini untuk hadir ke bazar.

"Kami membawa kurma dan Pemuda Umno dengan bubur lambuk. Beliau mengakui bazar Ramadhan adalah tempat awam sepertimana pasar awam dan pasar tani, tiada sesiapa yang sepatutnya dihalang untuk datang ke bazar.

"Tahniah kepada Datuk Khairul Anuar yang bersikap matang dan terbuka," tulis Liew dalam Facebook awal hari ini.

Isnin lepas, rombongan Liew, yang datang membawa buah kurma, telah diminta beredar dari situ oleh petugas bazar, yang sesetengah daripadanya memakai jaket dengan logo Umno.

Salah seorang petugas itu bertegas bahawa rombongan itu perlukan surat untuk berada di bazar dan selepas rundingan gagal, rombongan Liew mengalah dan beredar dari situ.

Ketika dihubungi, ADUN DAP Mengkibol, Tan Hong Pin (kiri), yang

turut sama dalam rombongan itu, berkata Khairul Anwar secara peribadi menghubungi mereka pada hari Jumaat untuk meminta maaf atas kejadian itu dan menjemput mereka untuk bersama-sama melawat bazar tersebut.

Tan, Liew dan Ketua Kluang PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil datang ke bazar tersebut bersama-sama dengan dengan rakan-rakan mereka dari Umno semalam.

Dalam surat bertarikh hari ini, Datuk Bandar Kluang Adib Azhari Daud berkata ia telah tidak pernah melantik petugas bazar Ramadan Kluang.

"Majlis juga ingin memaklumkan bahawa kawasan bazar Ramadan Kluang adalah bukan milik persendirian yang mana boleh menghalang mana-mana pihak untuk membeli-belah di situ," katanya.

Surat itu sebagai jawapan kepada pertanyaan yang dibuat oleh Tan berikutan peristiwa 30 Jun itu.

 

[Baca berita penuh]