GERAMM kecam pihak sebar berita palsu isu PKR
NGO Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam tindakan sesetengah pihak terlibat dengan politik dalaman PKR Selangor yang menyalahgunakan nama media dan memalsukan sebaran berita bagi kepentingan politik mereka.
Perikatan longgar wartawan itu menegaskan bahawa media tidak seharusnya dijadikan alat politik oleh parti sama ada dari Pakatan Rakyat atau BN sebaliknya menegaskan media harus kekal bebas.
Dalam kenyataan mereka hari ini, GERAMM turut mengingatkan ahli politik supaya tidak menjerat media dalam kemelut politik dalaman yang mereka hadapi ketika ini.
"Tidak dapat dinafikan bahawa media bertanggungjawab untuk melaporkan perkembangan politik tanah tetapi menyalahgunakan nama media bagi mengapi-apikan kemelut dalaman parti adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab serta boleh dilihat sebagai satu kesalahan jenayah," kata kenyataan itu.
Kumpulan itu merujuk satu pesanan 'Whatapps' yang memetik sumber dari kalangan media memaklumkan mengenai pertemuan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Sultan Selangor bagi menyerahkan surat perletakan jawatan beliau pagi ini yang kemudiannya perkara itu dinafikan oleh pegawai dari pejabat Khalid.
Kumpulan itu percaya desas desus itu mungkin disebarkan sebagai tekanan pada Khalid yang sedang bersaing merebut jawatan timbalan presiden PKR bersama penyandang Azmin Ali dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.
"Bagaimanapun tindakan tidak bertanggungjawab ini telah membebankan pihak media yang terpaksa mencari pengesahan khabar angin tidak berasas," kata GERAMM.
Selain itu, GERAMM juga mengecam tindakan pihak yang menyebarkan pesanan yang mendakwa Exco Iskandar Samad akan mengangkat sumpah depan Sultan Selangor menggantikan jawatan Khalid sebagai menteri besar jam 2 petang ini.
"GERAMM dengan ini menegaskan bahawa telah jelas terdapat cubaan untuk menyalahguna nama media untuk kepentingan peribadi ahli politik tertentu yang sebelum ini mengeluh bahawa kenyataan mereka telah "diputar-belit" oleh media dan perbuatan ini harus dikecam," kata GERAMM.

