BERITA

Kebebasan akademik dan keutuhan kerajaan

Amidi Abd Manan

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Jul 2014, 3:38 pagi

ULASAN Kisah Nabi Sulaiman selaku pemimpin kerajaan terakam dalam al-Quran pada Surah al-Naml. Kekuatan Baginda terserlah dalam satu perlakuan di suatu tempat yang bernama Lembah Semut. Ia dimulakan dengan suatu keadaan yang kecoh apabila kedengaran derapan kaki bala tentera Nabi Sulaiman yang mengundang rasa cemas pemimpin sang semut, sepertimana yang diungkap menerusi surah An-Naml: 18

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

Keprihatinan pemimpin semut yang mementingkan keselamatan komunitinya amat mengkagumkan. Walaupun kecil dan tidak berdaya jika dipijak, nyawa melayang tanpa upaya menyelamatkan diri dan lebih malang lagi perlakuan ini tanpa disedari oleh pelakunya tidak menghilangkan fungsi kepimpinan iaitu memastikan keselamatan orang yang dipimpin.

Walaupun sarang semut tidaklah sekukuh mana namun ikhtiar untuk menyelamatkan diri perlu dilakukan tanpa sebarang alasan penangguhan. Sikap inilah yang akhirnya membuatkan Nabi Sulaiman tersenyum seraya berdoa:

"Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata: " Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". An-Naml: Ayat 19

Inilah sikap seorang pemimpin sebuah kerajaan yang agung, merafakkan rasa syukur apabila setiap rakyatnya mampu memainkan peranannya masing-masing. Ia adalah satu nikmat yang tidak terkata kerana Nabi Sulaiman sedar walau dia telah dikurniakan pelbagai kepandaian namun tanpa limpahan rahmat dan kasih sayang Allah dia tidak mampu memanfaatkan segala nikmat itu pada jalur keredhaan Allah.

Perilaku yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman dan semut ini mempunyai signifikan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Kisah ini memperihalkan satu elemen yang penting bagi sebuah kerajaan berfungsi dengan baik iaitu kesediaan mendengar. ‘Listening government’ adalah satu istilah yang mula mendapat perhatian dari para pengkaji dibidang pentadbiran awam.

Apatah lagi dengan kepesatan perubahan sehingga setiap perkembangan tidak lagi mampu dipantau oleh kerajaan. Kepesatan ini akhirnya membuatkan kerajaan perlu mengakui bahawa tidak semua perkara diketahui mereka. Zaman ‘government knows all’ telah berlalu.

Kini boleh dikatakan ledakan maklumat hampir tidak terjangkau oleh setiap orang pada setiap ketika. Oleh yang demikian kerajaan perlu terbuka menerima setiap kritikan dan pandangan yang diberikan. Kritikan perlu dilakukan dengan niat mahu melihat perubahan ke arah yang lebih baik.

Bagi mendapat maklum balas yang diperlukan, pihak pemerintah mesti menyediakan ruang yang sewajarnya untuk setiap warga memainkan peranannya. Begitulah dalam kisah ini, yang memperlihatkan pemimpin masyarakat kecil yakni semut melaksanakan fungsinya dengan cemerlang dalam ruang yang kondusif.

Berani memperingatkan tentang bahaya yang bakal melanda walau datang dari sang pemerintah sendiri. Di Amerika Syarikat satu inisiatif yang dinamakan ‘The Government Trailblazer Program’ yang dibangunkan oleh Centre on Government Performance di National Centre for Civic Innovation telah dilaksanakan bermula dari tahun 1995.

Pada tahun 2005 satu laporan telah dibentangkan dalam sebuah buku Listening to the Public: Adding the Voices of the People to Government Performance Measurement and Reporting mengenengahkan dengan jelas satu penemuan iaitu perspektif umum berbeza daripada kayu ukur kerajaan.

Maka dengan itu terjawablah betapa kajian berkaitan persepsi masyarakat terhadap prestasi kerajaan amat penting bagi mengukur ketepatan dasar, keberkesanan perlaksanaan dan keperluan masyarakat. Ini dinyatakan dalam sinopsis kajian tersebut: If, however, governments listen to the public in new ways, learning of their points of view, the facts they want and need, by what standards or measures they judge government performance and why, then governments have the information to make program, policy and management changes to move toward greater alignment of government’s work with the public’s needs . (Jika kerajaan mendengar kepada orang ramai dengan cara yang baru, belajar daripada pandangan mereka, fakta-fakta yang mereka mahu dan perlukan, dengan apa piawaian atau langkah-langkah mereka menilai prestasi kerajaan dan mengapa, maka kerajaan mempunyai maklumat untuk membuat program, dasar dan perubahan pengurusan untuk bergerak ke arah penjajaran kerja kerajaan dengan keperluan orang ramai.)

Inilah interaksi yang dimahukan oleh rakyat. Setiap pandangan akan berbeza mengikut sudut pandang dan tempat kita berdiri. Maka benarlah apabila Nabi Sulaiman bergerak bersama para tenteranya Baginda mungkin terlupa bahawa ada kemungkinan di bawah telapak kaki kudanya ada makhluk yang tertindas.

Suara kecil seperti semut tidak diremehkan oleh Nabi Sulaiman yang berjaya mengetuk pintu hatinya untuk berdoa mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya. Kesombongan kerajaan dalam mempraktikkan pengurusan seperti ini akan merugikan rakyat dan kerajaan itu sendiri.

Ia boleh menyebabkan kekeliruan kakitangan awam, pembaziran dana kerajaan dan akhirnya menyebabkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. Dalam keadaan yang lain pula kita mungkin akan melahirkan generasi yang hidupnya diselubungi ketakutan dan rela dizalimi sepanjang zaman.

Ketakutan sebegini dirakamkan oleh Rendra dalam puisinya seperti yang dipetik oleh Dr Siddiq Fadzil dalam buku Islam dan Melayu yang berjudul Kesaksian Bapak Saija yang menyesali sikap pengecutnya setelah kematiannya: Hidup tanpa daya sebab daya ditindih ketakutan.

Setiap hari seperti mati berulangkali. Setiap saat berharap menjadi semut agar bisa menjadi tidak kelihatan. Sekarang setelah mati baru aku menyadari bahawa ketakutanku membantu penindasan, dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan. Bagi memastikan segala fakta dan pandangan rakyat terungkap dengan tersusun dan bermakna maka peranan ahli akademik diperlukan.

Ahli akademik pula perlu jujur dengan setiap fakta dan maklumat yang datang dari rakyat. Setiap penipuan adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat. Ia merupakan prinsip yang menunjangi maruah ahli akademik. Apabila ada pihak yang kurang selesa dengan dapatan yang jujur, maka bertindak menindas para ahli akademik pihak ini adalah pengkhianat rakyat dan negara.

Mengkembiri pendidikan negara adalah satu jenayah yang tidak boleh diterima rakyat. Ia memandulkan keberanian generasi akan datang laksana Firaun yang menitahkan agar bayi lelaki Bani Israil dibunuh semuanya. Pasangan diantara ‘listening government’ dan ‘trusted academician’ perlu bergandingan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Kerajaan memerlukan ‘telinga’ untuk mendengar dan ahli akademik memerlukan ‘suara’ untuk menjalankan peranannya. Barulah kita akan kembali kepada jati diri masyarakat kita iaitu : Bergantung kepada yang Satu Berpegang kepada yang Esa Tuah hidup sempurna hidup Hidup berakal mati beriman Malang hidup celaka hidup Hidup tak tahu halal haram.


AMIDI ABD Manan adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.