Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Kuala Langat diberi surat tunjuk sebab
Diterbitkan:  Jul 9, 2014 1:31 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini diberikan surat tunjuk sebab kerana mengeluarkan kenyataan dalam akhbar Berita Harian berhubung isu kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong menuntut penjelasan pemimpin PKR itu yang mengeluarkan kenyataan itu dalam akhbar tersebut hari ini bertajuk “Abdul Khalid perlu akur ‘Langkah Kajang’".

"Saudara Abdullah Sani Abdul Hamid akan diberi surat tunjuk sebab untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan kenyataan media tersebut," kata Tan dalam kenyataan medianya hari ini.

Berita Harian melaporkan Abdullah Sani menafikan beliau diberi arahan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali untuk mengerakkan gelombang menjatuhkan Khalid sebaliknya ia adalah desakan dalaman parti serta menepis dakwaan Azmin mahu jawatan menteri besar.

“Jangan nak tuduh saya ini orang Azmin sebab saya berjuang untuk parti. Sebenarnya desakan untuk Abdul Khalid meletakkan jawatan dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat PKR yang dipengerusikan Presiden Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 15 Januari lalu, yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang'.

“Malah keputusan mesyuarat itu juga tidak senaraikan mana-mana pemimpin (PKR) sebagai calon menteri besar, kerana perkara yang terpenting ialah kita turunkan dulu, Abdul Khalid dari jawatan,” kata Abdullah seperti dilapor akhbar itu.

Tiga digantung keahlian

Sementara itu, Tan berkata Lembaga Disiplin PKR turut menggantung keanggotaan dua ahlinya selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

Saifuddin Shafi Muhammad dari cabang Hulu Selangor digantung keanggotaan kerana didapati membocorkan minit mesyuarat Biro Politik kepada umum melalui akaun twitternya pada 14 Mei lalu.

Sementara Vasantha Kumar a/l Krishnan dari cabang Hulu Langat didapati membuat tuduhan tidak berasas kepada anggota parti sewaktu proses pemilihan cabang itu pada 11 Mei lalu.

Manakala Nor Asmah Baharuddin dari cabang Bandar Tun Razak pula diberikan surat tunjuk sebab dan digantung keahlian kerana didapati mengeluarkan kata-kata kesatnya terhadap parti dalam laman Facebook peribadinya pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun tempoh penggantungan Nor Asmah tidak dinyatakan dalam kenyataan Tan itu.

"Lembaga Disiplin mengingatkan semua calon supaya tidak menggunakan anggota-anggota parti yang telah digantung keanggotaan atau telah dipecat untuk berkempen, khusus menuju pusingan akhir pemilihan iaitu pada 10hb Ogos 2014," kata Tan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS