Kerajaan negeri Johor menafikan dakwaan telah mengambil alih tanah milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bagi memberi laluan kepada projek ‘Forest City’ seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita di laman sesawang.

    

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana tanah berkenaan adalah hak milik syarikat itu.

    

"Setakat yang saya tahu, tidak ada tindakan apa-apa pun yang telah dibuat oleh kerajaan negeri bagi menjayakan sebarang projek iaitu ‘Forest City’. Lagi pun projek tersebut di kawasan tambak, jadi tidak harus jadi isu, tanah itu milik PTP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya, Bazar Ramadan Dan Aidilfitri 1Malaysia di Johor Bahru semalam.   

    

Khaled turut menafikan kerajaan negeri menarik balik 404 hektar (1,000 ekar)  tanah yang diberikan kepada PTP seperti laporan portal di laman sesawang yang lain.

    

"Jika tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada sesebuah syarikat itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya tarik balik, dan kalau kita mahukan tanah yang dimiliki oleh orang lain, mestilah membuat permohonan terdahulu, tiada istilah mengatakan tanah ditarik balik," jelasnya.

    

Beliau berkata tanah milik PTP hanya boleh digunakan untuk tujuannya dan dari segi perancangan jangka panjang, ia merupakan soal syarikat tersebut.

    

Projek Forest City yang merupakan pembangunan perdagangan bercampur melibatkan pembangunan seluas kira-kira 2,068 hektar yang dilaksanakan secara berfasa oleh Country Garden Pacific View Sdn Bhd.

- Bernama