Ikon pelancongan negara, Cameron Highlands bakal berdepan bencana tanah runtuh dan banjir kilat jika pencerobohan tanah dan hutan di kawasan tersebut terus berleluasa.

    

Pakar Geologi dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin berkata pencerobohan di kawasan tanah tinggi itu boleh membahayakan memandangkan ia terletak pada ketinggian 1,829 meter dari aras laut dan merupakan kawasan cerun berbukit yang mudah mengalami hakisan tanah.

    

"Kawasan ini adalah kawasan cerun jadi kebarangkalian untuk berlaku hakisan tanah atau tanah runtuh sangat tinggi sekiranya penebangan pokok secara haram dilakukan secara berterusan.

    

"Ia kerana tiada lagi tumbuhan sebagai pengikat tanah di kawasan tersebut bagi mengukuhkan kedudukan tanah di kawasan itu", katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

    

Beliau berkata diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel yang berusaha membendung aktiviti pencerobohan tanah dan hutan yang didakwa berleluasa di kawasan terbabit sehingga menyebabkan kawasan itu berdepan risiko tanah runtuh dan banjir kilat.

    

Menurut Tajul Anuar, akar tumbuhan di sesuatu kawasan berperanan untuk menstabilkan cerun dengan mengikat zarah-zarah tanah kawasan tersebut dan proses evapotranspirasi yang dilakukan oleh tumbuh-tumbuhan ini boleh mengurangkan tekanan liang dalam jangka masa tertentu dengan menyingkir air tanah.

    

Oleh itu, jelas beliau pemindahan pokok dan tumbuh-tumbuhan akibat aktiviti pencerobohan hutan akan menyebabkan kestabilan alam sekitar terganggu sekaligus mengundang bencana alam.

    

Menjelas lanjut, beliau berkata pencerobohan tanah pula akan menyebabkan tanah menjadi mendap sehingga menyebabkan sungai semakin cetek dan mengalami banjir kilat.

    

Katanya, geografi kawasan tersebut juga boleh berubah akibat pencerobohan kerana iklim mikro bagi kawasan tersebut dikawal oleh kepadatan tumbuh-tumbuhan.

    

Tajul Anuar berkata topografi Cameron Highlands adalah rencam kerana bentuk muka bumi kawasan tersebut dipenuhi bukit-bukau dan tanah beralun.

    

Oleh itu, katanya pencerobohan tanah di kawasan berkenaan sering terjadi tanahnya sangat sesuai untuk penanaman sayur-sayuran dan bunga-bungaan.

    

"Penceroboh tahu kalau dia dapat mengusahakan tanah di kawasan itu pasti dia dapat mengaut keuntungan yang lumayan," tambahnya.

    

Menurutnya, pembukaan tanah pertanian di tanah tinggi itu seharusnya dirancang dengan betul kerana ia boleh menjejaskan keindahan dan kehijauan persekitaran itu.

    

Justeru, katanya penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat adalah antara langkah terbaik bagi membendung masalah ini yang akan menjadi lebih buruk jika terus dibiarkan berterusan.

    

- Bernama