Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendirian parti itu untuk memecat anggotanya yang didapati terlibat dengan kegiatan militan di Iraq dan Syria.

Katanya, PAS tidak bersetuju dengan tindakan mengangkat senjata, seperti yang diambil kumpulan bersenjata Negara Islam Iraq dan Syria (ISIL)

Sebaliknya, PAS berpegang dengan pendekatan demokrasi menerusi pilihanraya, yang turut dianjurkannya kepada rakan-rakan dalam gerakan Islam seluruh dunia, kata Hadi

“Sebab itu PAS tidak bersetuju dengan pendekatan yang berlaku di Syria dan Iraq yang mengambil cara perang untuk menyelesaikan masalah dalaman negara umat Islam.

“Ia juga bercanggah dengan konsep jihad dalam al-Quran dan Sunnah yang diamalkan oleh para Khulafa' di sepanjang zaman.

“Dengan sebab itu, PAS dengan tegas tidak mengizinkan mana-mana ahli PAS terlibat dengan kumpulan radikal sama ada di luar negeri ataupun di dalam negeri.

“Sekiranya didapati ada, maka kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan dengan memecat mereka daripada keahlian PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.