VIDEO 1.39min

Isteri perdana menteri Rosmah Mansor hari ini mengingatkan rakyat Malaysia daripada semua pihak sama-sama menjaga keamanan yang dikecapi di negara ini.

Beliau juga mengingatkan supaya semua kaum mengelakkan pergaduhan dan menyerapkan konsep 1Malaysia seperti dinyanyikan dalam lagu-lagu patriotik.

“Jangan kita harapkan orang Melayu saja jaga keamanan, orang India, orang Cina juga sepatutnya jaga keamanan dalam negara Malaysia ini,” kata Rosmah dalam majlis menyampaikan bantuan Aidilfitri di Kuala Lumpur hari ini.

“Bukanlah saya kata dia (India dan Cina) tak jaga (keamanan), tapi saya ini sebagai isteri pemimpin tugas sayalah untuk bagi menasihat, mengingatkan.

“(Ia) supaya, Insya-Allah, kita akan mendapat lebih ganjaran daripada Allah SWT bukan sahaja untuk kita kaum Islam tetapi juga untuk kaum dan agama yang lain,” katanya seperti disiarkan KiniTV.

Beliau bagaimanapun menegaskan bukan bermaksud masyarakat itu tidak menjaga keamanan, tetap menjadi tugasnya sebagai isteri kepada orang politik untuk memperingatkan.

Nyanyi Negaraku pun tak pandai

Sementara itu, dalam ucapan sama Rosmah turut menyatakan kesedihannya terhadap sikap sesetengah rakyat negara ini yang tidak mengambil berat berhubung lagu kebangsaan Negaraku . [Tonton VIDEO 1.11min]

“Sedihnya saya, dia dah makanminum di negara kita.

“Semuanya dapat, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dapat, KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia) dapat, bila nak nyanyi lagu Negaraku dia tak lancar,” katanya.

Menurut isteri perdana menteri lagi, kelompok itu hanya berpura-pura lancar apabila diperhatikan dan lebih sedih lagi ada yang tidak mengiktiraf Negaraku sebagai lagu kebangsaan.

“Bila nyanyi lagu Negaraku kita tengok mulut dia. Ada yang tak menyanyi langsung sebab dia tak percaya nyanyi lagu Negaraku lagu kebangsaan negara kita. Ada juga (seperti ini).

“Perkara ini tak bole dibiarkan, mesti dibendung secepat mungkin,” katanya lagi.