'KJ perlu lihat 51 peratus sokong Pakatan'
ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tidak harus menilai kemampuan Pakatan Rakyat dengan melihat isu perbezaan pendapat di antara pemimpin Pakatan Rakyat semata-mata.
Nik Nazmi berkata Khairy juga sepatutnya melihat pada sokongan sebanyak 51 peratus yang diperolehi Pakatan dalam pilihan raya umum lalu, dan juga perkongsian kuasa yang setara di kalangan parti.
“Pakatan Rakyat yang mendapat dukungan 51 peratus rakyat Malaysia pada pilihan raya umum ke-13 bersifat sebagai perkongsian tiga parti yang sama pentingnya.
“(Pakatan) bukan seperti BN yang mana Umno jauh bersifat dominan berbanding parti komponen yang lain,” kata timbalan speaker DUN Selangor itu lagi.
Tambahnya, para pemimpin Umno juga banyak berbeza pendapat di kalangan pemimpin parti itu sendiri serta parti komponen lain.
Namun, perbezaan pendapat antara pemimpin parti BN itu disembunyikan media arus perdana sehingga isu kepimpinan di Selangor kelihatan besar.
“Jika perbezaan menjadi ukuran, beliau wajib melihat kembali senarai perbezaan pendapat pimpinan Umno dalam parti sendiri, atau dengan parti kompen yang begitu panjang senarainya.
“Cuma, Umno-BN memegang teraju media arus perdana, tidak seperti Pakatan Rakyat. Maka, perbezaan Umno-BN cuba disorok sementara perbezaan Pakatan Rakyat diperbesar-besarkan.
Beliau mengulas kenyataan Khairy yang membandingkan kemampuan BN menyelesaikan krisis menteri besar Terengganu dalam masa seminggu, berbanding di Selangor yang masih berlarutan.
Menurut Khairy, perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Pakatan itu menunjukkan gabungan parti itu tidak mampu mentadbir negara.

