Indonesia berdebar tunggu presiden baru 22 Julai
Proses mengundi bagi pemilihan presiden Indonesia 2014 berakhir semalam, namun calon-calon untuk jawatan tertinggi bagi negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu tidak akan senang duduk sehingga 22 Julai ini - tarikh keputusan diumumkan.
Pertembungan di antara dua calon yang dilihat sebagai mewakili blok politik lama dan blok politik baru berlangsung sengit.
Keputusan rasmi yang akan diketahui pada 22 Julai dijangka bakal merubah warna politik Indonesia untuk tempoh lima tahun akan datang.
Kempen yang bermula seawal April lalu pada mulanya menyaksikan Joko 'Jokowi' Widodo, 53 tahun, seorang bekas usahawan perabot berada selesa mendahului pesaingnya Prabowo Subianto, 62 tahun, bekas jeneral pasukan khas tentera Indonesia.
Mentadbir Solo selama dua penggal sebagai datuk bandar, kejayaan Jokowi mengubah wajah Solo kepada pusat pelancongan dan kebudayaan Jawa serta imej bersihnya melonjakkan populariti Jokowi.
Rekod cemerlang Jokowi meyakinkan Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) untuk mencalonkannya sebagai gabenor Jakarta pada pilihan raya gabenor 2012 - dan beliau menang.
Dua-dua mengaku menang
Kini, kemenangan Jokowi dalam pemilihan presiden ini bakal mengundang cabaran kepada status quo pentadbiran Indonesia yang dikenali sarat dengan birokrasi, berdepan masalah rasuah yang kronik serta pengaruh elit politik.
Namun, kempen Jokowi, seorang pendatang baru dalam politik Indonesia berdepan cabaran getir kempen balas yang mempersoalkan status keturunannya sebagai seorang Jawa dan statusnya sebagai seorang Muslim.
Di sebelah Prabowo, kempen beliau mengingatkan rakyat Indonesia tentang romantisme negara itu di bawah pentadbiran bekas presiden Sukarno.
Dengan imej berkemeja putih dan bersongkok saling tak tumpah seperti Sukarno, Prabowo menjanjikan kepimpinan 'tegas' untuk "menyembuhkan dan menyatukan bangsa Indonesia yang sakit".
Ia sekali gus dilihat sebagai satu peralihan segar daripada kepimpinan lemah dan teragak-agak presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Pada masa sama, latar belakang ketenteraan Prabowo juga dilihat bakal menyuntik kembali elemen autokratik dalam pentadbiran Indonesia.
Dengan kedua-dua calon mengumumkan mereka bakal menang menerusi pengiraan segera badan pemerhati bebas semalam, Indonesia pastinya berdebar-debar menantikan siapakah bakal presiden baru mereka.

