PM lihat keikhlasan dapur umum
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui keikhlasan dan semangat sukarelawan pemberi makanan percuma setelah turun padang memantaunya malam tadi.
Katanya, selepas melihat sendiri, bersembang dengan gelandangan beliau kini faham situasi berhubung perkara yang hangat dibualkan, terutamanya di alam maya.
“Mereka (gelandangan) benar-benar hargai usaha murni soup kitchen (dapur umum).
"Saya juga melihat sendiri keikhlasan dari semangat dan tenaga sukarelawan-sukarelawan yang terlibat.
“Mereka benar-benar berpegang kepada konsep 1Malaysia,” katanya.
Justeru, dalam status di Facebook, beliau berkata, kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu itu dengan cara yang terbaik untuk semua pihak.
Teguran tokoh wartawan
Bernama semalam melaporkan Najib tiba pada 10.40 malam dan meluangkan masa kira-kira sejam melihat aktiviti pengagihan makanan dan minuman oleh sukarelawan dan berjalan sekitar Bangunan Cahaya Suria di ibu negara.
Najib, yang ditemani Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan menteri pembangunan Wanita Datuk Seri Rohani Abdul Karim, bertegur sapa dengan gelandangan yang tidur di tepi jalan.
Langkah Najib itu kebetulan dibuat selepas teguran tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin yang menggesa menteri mencontohi sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering turun padang sepanjang menjadi perdana menteri.
Isu gelandangan di ibu kota menjadi topik hangat selepas Tengku Adnan berikrar membersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis dan golongan tidak berumah, terutamanya dalam lingkungan 2 kilometer daripada Lot 10 di Bukit Bintang.
Untuk tujuan itu, pemberi sedekah dan relawan dapur umum juga akan disaman jika terus membantu golongan itu.
Tengku Adnan membenarkan aktiviti dapur jalanan beroperasi sehingga 16 Ogos ini, iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

