Liputan media yang meluas mengenai bekas atase tentera Malaysia, Muhammad Rizalman Ismail boleh menghalang proses perbicaraan yang adil, demikian menurut laporan media New Zealand.

Akhbar New Zealand Herald melaporkan Presiden Persatuan Peguam negara itu, Chris Moore menyuarakan kebimbangannya terhadap perkara itu.

Moore berkata liputan media yang meluas "boleh menjadi gangguan yang berbahaya dalam proses bagaimana kita menentukan sesuatu kesalahan".

Kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh Profesor undang-undang, Warren Brookbanks dari Universiti Auckland.

"Defendan mungkin dihakimi di mahkamah pendapat awam di mana dia tidak ada peluang untuk menjawab atau menawarkan pembelaan terhadap tuduhan itu," Brookbanks dipetik sebagai berkata.

Beliau memberitahu akhbar itu bahawa publisiti tersebut bermakna "akan ada masalah sebenar untuk mendapatkan juri yang tidak berat sebelah".

Brookbanks juga berkata, Tania Billingsley, yang didakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh Rizalman, mungkin telah melemahkan kes pendakwa dengan bercakap secara terbuka.

"Dengan berbuat demikian, pengadu berdepan dengan risiko menjejaskan kredibiliti beliau sebagai saksi, yang berpotensi melemahkan kes pendakwaan," katanya.

Dalam satu temubual di televisyen New Zealand baru-baru ini, wanita berusia 21 tahun itu memperkenalkan dirinya sebagai pengadu.

Billingsley berkata dia mendedahkan identitinya kerana dia kecewa dengan cara pihak berkuasa New Zealand menangani kes, di mana Rizalman meninggal negara itu melalui imuniti diplomatik.

Dia menuduh Rizalman, yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, memecah masuk ke rumahnya Mei lalu dengan niat melakukan serangan seksual terhadapnya.

Rizalman ditahan polis di Wellington pada 9 Mei atas tuduhan pecah rumah dan cubaan melakukan serangan seksual terhadap Billingsley.

Dia didakwa di sebuah mahkamah New Zealand pada hari berikutnya, dengan tuduhan pecah rumah dan serangan dengan niat untuk merogol.

Pihak berkuasa Malaysia telah berkata bahawa Rizalman yang telah dibawa balik ke Malaysia, akan dihantar kembali ke New Zealand tidak lama lagi untuk dibicarakan di sana.

 

[Baca berita penuh]