Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata tindakan membiarkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berleluasa adalah sama seperti mengiktiraf "kumpulan songsang" itu.

Pengerusi Majlis Ulama ISMA, Dr Aznan Hasan berkata walaupun Islam tidak mendiskriminasikan sesiapa berdasarkan jantina - agama itu bagaimanapun tetap tidak mengakui LGBT sebagai orientasi seks yang diterima.

“Menerima bahawa mereka yang melakukan LGBT sepatutnya dibiarkan tanpa sebarang tindakan, adalah umpama mengiktiraf kehendak seksual mereka yang menyeleweng ini,” katanya seperti dilapor ISMAweb semalam.

Aznan mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Datuk Dr Mujahid Yusof dalam wawancara bersama Malaysiakini .

Dr Mujahid yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam wawancara itu menegaskan bahawa beliau tidak mengiktiraf golongan LGBT namun menolak sebarang diskriminasi dari segi kerjaya terhadap mereka.

Tidak bersetuju dengan kenyataan itu, Aznan berkata golongan LGBT terlibat dalam "seks yang menyeleweng" dan mereka adalah "golongan yang dimurkai Allah dan hukumannya amat berat, di dunia dan akhirat".

“Apabila telah sabit seseorang itu melakukan LGBT, maka si pelaku sepatutnya melalui proses kehakiman yang sepatutnya, bukan kerana diskriminasi, tetapi kerana melakukan perbuatan tersebut.

“Si pelaku tidak sepatutnya dibiarkan sahaja, setelah melakukan perbuatan jenayah tersebut,” katanya lagi.

Aznan kemudian menyeru Dr Mujahid yang juga MP Parit Buntar agar merujuk perkara itu kepada ilmuan agama agar "tidak mengelirukan umat yang lain".