MP: Siapa ambil kesempatan atas perpecahan Islam?
MP DAP M Kulasegaran berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan kenyataan yang dibuat pada 6 Julai lalu yang mendakwa “pelbagai pihak” mengambil kesempatan ke atas perpecahan di kalangan umat Islam.
Kulasegaran berkata, timbalan perdana menteri perlu membuat penjelasan memandangkan kenyataan yang dipetik dalam laporan Bernama itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
“Muhyiddin memberi contoh tindakan mempersoalkan agama rasmi persekutuan dan kuasa mahkamah syariah. Beliau sepatutnya menjelaskan jika Bernama memetik kenyataannya dengan tepat.
“Jika benar, bolehkah beliau jelaskan bagaimana dan siapa yang mempersoalkan agama rasmi persekutuan dan kuasa mahkamah syariah?,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya Muhyiddin perlu menjelaskan sekiranya “pihak yang mempersoalkan kuasa mahkamah syariah” itu merujuk kepada kes hak jagaan anak melibatkan kes ibu bapa berlainan agama.
“Jika benar, saya mencadangkan agar beliau belajar lebih lanjut mengenai kedaulatan undang-undang dan proses perundangan dan hujah berhubung semua isu ini,” katanya lagi.
“Saya tidak terkejut sekiranya kumpulan ekstremis yang jahil melihat hujah perundangan yang waras sebagai tindakan mencabar kuasa mahkamah syariah.
“Tapi saya tidak menjangka timbalan perdana menteri boleh tersalah tafsir seperti itu,” katanya.
Beliau mengulas laporan memetik kenyataan Muhyiddin semalam, yang mendakwa terdapat beberapa pihak memutarbelitkan kenyataannya berhubung tragedi 13 Mei 1969.
Katanya, beliau hanya memberi peringatan bahawa pergaduhan kaum mungkin tercetus sekiranya keamanan, perpaduan dan hubungan baik antara kaum tidak dipelihara.

