Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengurusan kes rayuan Izwan Abdullah 22 Ogos
Diterbitkan:  Jul 11, 2014 4:42 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Ogos bagi pengurusan kes berhubung rayuan dikemukakan bapa saudara baru Islam terhadap perintah Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan dua anaknya kepada bekas isterinya beragama Hindu.

    

Timbalan Pendaftar Emelia Kaswati Mohamad Khalid turut menetapkan tarikh sama bagi pengurusan kes berhubung rayuan N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah terhadap perintah memgembalikan anak diperolehi bekas isterinya S Deepa daripada Mahkamah Tinggi di Seremban yang mengarahkan polis mendapatkan anak lelakinya Mithran, 6, daripada Izwan.

    

Izwan didakwa melarikan Mithran daripada Deepa dua hari selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu pada 7 April tahun ini, yang memberikannya hak penjagaan Mithran dan anak perempuannya Sharmila, 9.

Rayuan Izwan terhadap perintah hak penjagaan itu dikemukakan bagi pengurusan kes di hadapan Emelia hari ini di dalam kamar.

    

Izwan diwakili peguam Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa manakala Deepa diwakili peguam Joanne Leong.

    

Pada 7 April tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Deepa bagi hak penjagaan anaknya dan juga memberikan hak lawatan mingguan kepada Izwan.

    

Mahkamah sama turut membenarkan permohonan Deepa untuk membubarkan perkahwinan sivilnya berikutan suaminya telah memeluk Islam. Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003.

    

Izwan yang memeluk Islam pada 2011, turut menukar agama anaknya tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama dan kemudiannya memperoleh perintah

daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan anaknya.

    

Pada 27 Mei tahun ini, Izwan gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah daripada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan kepada Deepa sementara menunggu pendengaran rayuannya.

    

Sementara itu, Joanne berkata Mahkamah Rayuan menetapkan 24 Julai untuk mendengar permohonan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mencelah dalam rayuan Izwan berhubung perintah mengembalikan anak kepada bekas isterinya.

    

Dilaporkan bahawa pada hari sama, Mahkamah Rayuan juga akan mendengar permohonan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mencelah dalam kes M Indira Ghandhi berikutan bekas suaminya Riduan Abdullah yang juga telah memeluk Islam, masih belum menyerahkan anak perempuan bongsu kepadanya berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2010 memberikan hak penjagaan tiga anak mereka kepadanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS