MAC: Ubah pandangan pada pengguna dadah
Majlis AIDS Malaysia (MAC) menggiatkan usaha bagi meminda dasar yang meletakkan pengguna dadah dalam kategori penjenayah melalui kempen 'Pesakit Bukan Penjenayah'.
Ia merupakan sebahagian dari kempen antarabangsa 'Support Don't Punish' bagi mempromosi hak asasi golongan tersebut.
Aktivis NGO tersebut meluangkan masa sehari pada 26 Jun lalu di kawasan tumpuan utama di Pasar Seni, Kuala Lumpur untuk mempromosi kempen tersebut melalui persembahan lagu dan interaksi bersama bekas pengguna dadah.
Pegawai dasar MAC, Sarah Iqbal memberitahu Malaysiakini bahawa kempen tersebut perlu mendapat perhatian bagi membolehkan masyarakat mengubah pandangan ke atas golongan pengguna dadah.
“Kita perlu melihat ketagihan dadah sebagai satu penyakit, sebab itu mereka adalah pesakit.
“Dan mereka perlu bantuan. Jika kita sebagai masyarakat tidak boleh membantu mereka, siapa lagi yang boleh membantu,” katanya.
Seramai kira-kira 50 orang bekas pesakit itu, yang berjaya mengatasi ketagihan dadah, didatangkan khas dari Pusat Cahaya Harapan di Pulau Pinang untuk turut sama menjayakan program berkenaan.
Pentas di ruang hadapan Pasar Seni itu menjadi tumpuan utama apabila kumpulan rock FOI Band dan Secret Rock Republic Band mengambil tempat untuk membuat persembahan.
Selain itu, aktivis dan sukarelawan MAC turut mengambil peluang untuk mengedar risalah kempen kepada para pengunjung di kawasan tumpuan utama pelancong itu.
Kempen ini dijalankan bersempena Hari Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Haram Dadah Antarabangsa, yang jatuh pada 26 Jun setiap tahun.
MAC menyambut hari tersebut dengan mengeluarkan laporan HIV and Human Rights Mitigation Report 2013 yang antara lainnya menggariskan masalah pengguna dadah dalam mendapat akses pendidikan, pekerjaan dan perubatan semasa dalam tahanan.

