Pengusaha ladang tembikai di Setiu meminta pihak berwajib agar turut memberi perhatian kepada mereka yang kini berdepan dengan isu harga di ladang yang terlalu rendah.

Pengurus Syarikat Cegah Padu Enterprises Shaifull Azly Muhamed berkata ketika ini harga buah itu hanya sekitar 60 sen sekilogram berbanding RM1 sebelum Ramadan.

"Ini kerana lambakan kebun besar dari beberapa negeri seperti Johor dan Perak," katanya yang ditemui Bernama di ladang milik syarikat itu di Kampung Telaga Papan Setiu.

Menurutnya masalah pengusaha ladang tembikai di Setiu juga bertambah buruk apabila kebanyakan tanaman mereka diserang kulat.

"Kami sendiri kerugian RM20,000 apabila 12 daripada 25 ekar (10 hektar) tanaman kami diserang kulat," katanya.

Katanya mereka juga sebelum ini dilanda kerugian akibat kemarau pada awal tahun ini.

- Bernama