Pemuda Umno Perak menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan bagi menghentikan serangan Israel terhadap penduduk Palestin.

Ketuanya Hairul Anwar Mohamed berkata gesaan itu antara sembilan usul pergerakan tersebut yang akan dikemuka kepada Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara.

Sayap ini juga menggesa agar Majlis Keselamatan PBB mengambil ketetapan melaksanakan gencatan senjata di wilayah Gaza serta menempatkan pasukan pengaman, katanya dalam perhimpunan membantah keganasan tentera Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza, di Ipoh malam tadi.

"Pihak kami juga menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas 'Uniting For Peace' di bawah Resolusi 377A (V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya," katanya lagi.

Hairul Anwar turut menggesa rakyat di negeri itu agar bersama-sama membantah keganasan rejim Zionis terbabit yang menyasarkan orang awam di Gaza.

Perhimpunan anjuran sayap itu berlangsung selama dua jam bermula 10 malam dan disertai oleh kira-kira 1,000 orang termasuk anggota badan bukan kerajaan serta kelab motosikal berkuasa tinggi.

- Bernama