Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan 'usik' lantik segera Azizah jadi MB
Diterbitkan:  Jul 13, 2014 1:39 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Utusan Malaysia hari ini 'mengusik' PKR dengan menggesa melantik presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan segera sebagai menteri besar (MB) bagi menyelesaikan kemelut di Selangor.

Penolong Pengarang Utusan Malaysia (Berita) Zulkefli Hamzah dalam kolumnya "Warung Rakyat" yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia mempersoalkan mengapa sehingga kini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak digantikan sedangkan 'Langkah Kajang' telah lama tamat.

"Apakah yang ditakutkan sangat untuk menggantikan Abdul Khalid dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Wan Azizah telah menang DUN Kajang.

“Wan Azizah berkuasa penuh selaku presiden parti. Lebih istimewa Wan Azizah adalah isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Wan Azizah ada pengalaman luas. Pernah menjadi ahli Parlimen dan ketua pembangkang wanita pertama di negara ini. Kelayakan akademiknya sebagai doktor mata juga hebat," tulis beliau.

Sejak beberapa bulan lalu, Khalid menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin PKR supaya melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Zulkefli mengambil langkah mempertahankan Khalid yang dianggap menjadi mangsa manipulasi politik PKR.

Kenapa ragu?

Beliau secara sinis menyindir pemilihan PKR yang dicemari dengan pergaduhan, penipuan dan dakwaan politik wang yang bertentangan dengan slogan 'demi rakyat' parti itu.

"Jika mereka benar-benar berjuang demi rakyat, tidaklah pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang huru-hara, dicemari dengan pergaduhan serta dakwaan manipulasi, penipuan dan politik wang. Kalau bekerja demi rakyat tidaklah begitu bernafsu terkejar-kejar mahukan jawatan.

"Jika mereka benar-benar berjuang demi rakyat, tidaklah menteri besar yang diagung-agungkan mendapat sokongan rakyat Selangor itu dicela dan dihina sebegitu rupa oleh parti sendiri. Selama ini perkataan 'demi rakyat’ tidak pernah lekang di bibir Menteri Besar Selangor itu. Jadi siapakah sebenarnya yang membela dan siapakah yang hanya memanipulasi rakyat?" soal beliau.

Zulkefli meninggalkan persoalan adakah calon yang berlatar belakang seperti Wan Azizah masih tidak mampu mengatasi Khalid, kerana tiada halangan untuk beliau dilantik sebagai MB menurut undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor.

"Jadi, apakah sebenarnya yang menghalang PKR dan pakatan pembangkang untuk melantik Wan Azizah menggantikan Abdul Khalid? Senator Datin Paduka Chew Mei Fun yang dikalahkan beliau di Kajang pun sudah dilantik sebagai timbalan menteri.

"Dari segi prestasi kerja, tidak mungkin Wan Azizah walaupun berpengalaman sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang boleh menandingi integriti dan kewibawaan Abdul Khalid. Atau mungkinkah ada misteri tersembunyi yang menyebabkan Wan Azizah sendiri ragu-ragu untuk memegang jawatan itu?" kata beliau.

ADS