Kerja-kerja pemasangan paip baru bagi menggantikan paip pecah dan bocor di dasar laut serta sungai yang membekalkan air ke Pulau Ketam dan Sungai Lima, sekali lagi mengalami kerosakan ekoran kerja penggerudian dasar laut oleh pihak ketiga, Sabtu lepas.

    

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata kerja-kerja penyambungan semula jajaran paip yang terputus akibat penggerudian pihak ketiga pada 21 Jun lepas, siap sepenuhnya dengan penyambungan paip terakhir pada 11 Julai.

    

"Bagaimanapun, semasa ujian terhadap penyaluran semula bekalan air ke Pulau Ketam dan Sungai Limau dilakukan Syabas, terdapat kerosakan baru pada jajaran paip yang sama di lokasi berlainan, sekali lagi ekoran kerja penggerudian dasar laut yang sama oleh pihak ketiga," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

Priscilla berkata sehubungan itu, bekalan air belum dapat dipulihkan semula dan kerja-kerja mengesan kebocoran itu sedang dilakukan oleh penyelam bertauliah lantikan Syabas sebelum pembaikan kerosakan dapat dilaksanakan.

    

Beliau berkata Syabas akan membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan terhadap pihak ketiga tersebut di atas kesalahan mengikut Seksyen 122, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

    

- Bernama