Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Matta: Pelancongan di Sabah tak terjejas
Diterbitkan:  Jul 16, 2014 6:18 AM
Dikemaskini: 11:42 PM

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyangkal dakwaan pelancongan di Sabah terjejas berikutan serangan di Pulau Mabul, Semporna.

    

Naib Presiden Perjalanan Ke dalam Negara Matta, Tan Kok Liang berkata aktiviti menyelam di Sabah menyumbang enam peratus kepada industri pelancongan di Sabah sementara komponen lain seperti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), golf, libur dan rekreasi masih tidak menerima kesan buruk daripada insiden itu.

    

"Industri pelancongan kini berada dalam keadaan kurang aktif terutamanya selepas kehilangan penerbangan MH370 awal Mac tahun ini dan kejadian penculikan beberapa bulan lepas.

    

Piala Dunia 2014 di Brazil juga mempengaruhi corak perjalanan pelancong-pelancong," katanya dalam satu kenyataan dari Kota Kinabalu, Sabah semalam.

    

Sabtu lepas, sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat menyerang hendap sebuah resort di Pulau Mabul dan membunuh seorang polis marin, Koperal Ab Rajah Jamuan dan menculik Konstabel Zakia Aliep.      

Sementara itu, beliau berharap kemerosotan ketibaan pelancong Cina yang merupakan 40 peratus daripada 3.5 juta pelancong yang dianggarkan berada di Sabah akan berakhir kerana warganegara China memerlukan masa untuk meredakan kemarahan dan emosi mereka.

    

Tan juga menggesa mereka yang berkepentingan supaya tidak terganggu dengan isu keselamatan terkini, sebaliknya mengkaji semula strategi pemasaran semasa, kualiti perkhidmatan dan pembangunan produk untuk meningkatkan ketibaan pelancong di negeri itu.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keselamatan Sabah tidak harus dihadkan kepada pantai timur dan pulau-pulaunya sahaja tetapi juga seluruh negeri itu

kerana isu keselamatan turut wujud di tanah besar.  

    

Katanya, dengan berlakunya pencerobohan terbaru mengakibatkan seorang anggota polis maut dan seorang lagi diculik, kebimbangan terhadap keselamatan kini meningkat.

    

"Oleh kerana kawasan pantai Sabah panjang, menjaga keselamatan sempadan Malaysia Timur begitu mencabar.  

    

"Saya yakin kerajaan akan merangka satu pelan yang lebih komprehensif bagi membanteras pencerobohan terhadap negeri ini; dan mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian pada mesyuarat kabinet akan datang," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat dengan Jawatankuasa Perhubungan MCA Sabah di Putrajaya, hari ini.  

    

Jawatankuasa itu, dipimpin oleh pengerusinya Wilfred Yong, telah menimbulkan isu keselamatan di Sabah di mesyuarat itu.

    

Ia berharap kerajaan pusat akan mengambil langkah segera dan berkesan demi menjamin keselamatan rakyat Sabah.

    

Liow, yang juga menteri pengangkutan, berkata MCA akan membawa isu tersebut ke kabinet dan parti itu menyokong kerajaan dalam mempertingkat usaha di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom). 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS