Tourism Malaysia mengalu-alukan kepulangan pegawainya di Sweden Azizul Raheem Awalluddin kembali ke agensi itu dan menyifatkan sebagai tetamu istimewa pada majlis berbuka puasa malam tadi.

    

Ketua Pengarahnya Datuk Mirza Mohd Taiyab turut menyifatkan malam tadi sebagai hari yang menggembirakan bagi seluruh kakitangan agensi itu apabila bertemu kembali Azizul Raheem yang baru dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden atas kesalahan memukul empat anaknya.

    

"Semua rakan ingin melihat anda kembali dan kehadiran anda (Azizul) adalah 'highlight' untuk majlis ini," katanya di majlis berbuka puasa Tourism Malaysia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya malam tadi.

    

Azizul Raheem turut diraikan dalam majlis itu bersama empat anaknya dan anggota keluarga yang lain.

    

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam  menaiki pesawat Malaysia Airlines MH001 dari London.  

    

Mirza berkata buat sementara waktu Azizul Raheem akan ditempatkan di bahagian sumber manusia Tourism Malaysia, sebelum penempatan seterusnya ditentukan.

    

Sementara itu, Azizul Raheem begitu teruja kerana dapat berbuka puasa bersama anak-anak dan anggota keluarganya selepas lebih dua minggu berbuka puasa di penjara.

    

"Saya anggap ia sebagai hadiah sempena Nuzul Al-Quran hari ini," katanya tersenyum.

    

Anak sulungnya Aishah, 14, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya dapat berbuka puasa bersama bapanya dan meraikan Aidilfitri bersama.

    

Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas atas kesalahan memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010.

    

Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal bagi kesalahan itu.

    

Bagaimanapun hukuman penjara itu dikurangkan dan masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

    

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, akan dibebaskan tiga bulan lagi.

Sebelum itu, ketibaan Azizul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.41 petang disambut empat anaknya, ibunya serta anggota keluarga lain yang menunggu di pejabat Tourism KLIA sejak 4.30 petang.

Suasana hiba dan sayu menyelubungi pejabat itu apabila Azizul memeluk anak-anaknya iaitu Aisyah, 15, Ammar, 12, Adam, 11, Ariff, 8, setelah tujuh bulan tidak bertemu dan berhubung.

   

Azizul berkata kepulangannya hari ini juga merupakan hadiah ulang tahun kelahiran ke-65 ibunya Rubiah Mohd Ghandi semalam.

    

"Terima kasih diucapkan kepada semua yang mendoakan kami berdua (isterinya Shalwati Norshal). Kini semuanya telah berakhir. Isteri saya akan dibebaskan pada 29 September ini dan kami tidak sabar menunggu waktu itu," katanya kepada media selepas pertemuan dengan keluarganya.

Azizul, yang dibebaskan pada 9 Julai lepas, didakwa memukul anaknya sejak September 2010 dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan manakala Shalwati dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.

    

Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan dan mereka masing-masing hanya perlu enmjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

    

Azizul berkata apa yang penting baginya kini ialah menjalani ibadahvRamadan dan berhari raya bersama anak-anak dan anggota keluarganya walaupun terkilan tanpa isterinya di sisi.

    

Ketika ditanya perancangan menyambut Aidilitri, beliau berkata belumvmembuat sebarang perancangan namun akan berbincang dengan anggota keluarganya mengenai lokasi sambutan itu.

    

Mengenai pengalamannya di penjara Sweden, Azizul berkata layananvyang diberikan kepadanya amat baik dan profesional namun terpaksa menjadivseorang vegetarian kerana sukar mendapat makanan halal.

    

Azizul Raheem berkata beliau juga tidak serik jika ditugaskan ke negara lain namun akan lebih berhati-hati dan  peka undang-undang negara berkenaan.

    

Beliau turut mengingatkan rakan-rakan yang lain untuk membuat perkara yang sama jika ditugaskan di negara luar.

    

"Namun, saya tidak akan kembali ke Sweden dan hanya akan menunggu isteri di sini,"katanya.

    

Sementara itu, Rubiah menganggap kepulangan anaknya adalah hadiah terindah daripada Allah SWT dan beliau percaya apa yang dirancang oleh Allah adalah sesuatu yang terbaik untuk mereka sekeluarga.

    

Aisyah, anak sulung Azizul Raheem, pula berkata tiada kata yang boleh menggambarkan kegembiraannya dan adik-adiknya dengan kepulangan bapa mereka.

    

"Kami sangat bersyukur ayah pulang, kami juga telah merancang untuk menjadikan warna ungu sebagi tema pakaian hari raya tahun ini," katanya.

 

- Bernama