Menteri Besar Tan Seri Khalid Ibrahim berkata MP Shah Alam, Khalid Samad perlu lebih menjaga adab dalam menyampaikan pandangan bagi isu melibatkan kuasa Sultan.

Katanya, MP PAS itu perlu menjaga adab dalam perkara sulit seperti itu bagi memastikan tujuannya dapat dicapai dalam keadaan tertib, tenteram dan mengikut lunas undang-undang.

"Saya rasa, dalam melakukan dan juga untuk menjaga ketenteraman dan kejayaan sesuatu pengurusan, dia bukan sahaja mengikut lunas undang-undang, tetapi adab dan tertib juga kita utamakan.

"Jadi oleh sebab itu walaupun idea kita betul, tapi penyaluran idea dan cadangan juga dibuat dengan penuh tertib dan terbaik supaya tujuan kita itu dapat dilaksanakan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Beliau ditanya mengenai titah Sultan Selangor, yang menyatakan kemurkaan ke atas Khalid Samad kerana menyarakankan aga kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dihapuskan.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam dalam titahnya menyifatkan saranan Khalid itu sebagai “biadap”.

Sultan Selangor itu juga bertitah bahawa MP PAS tersebut jahil dengan peranan MAIS sebagai penasihat dan pembantu baginda dalam menjalankan kuasa sebagai ketua agama Islam di Selangor.

Kenyataan Khalid itu timbul susulan kenyataan MAIS, yang enggan memulangkan kembali naskhah Bible yang dirampas dari Persatuan Bible Malaysia.

Naskhah Bible itu dirampas oleh agensi pelaksana MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor.