Pemuda PAS, Umno hantar bantuan ke Gaza
Pemuda PAS akan menghantar sukarelawan dan pasukan perubatan yang terdiri daripada doktor dan pembantu perubatan terlatih ke Gaza, Palestin bagi membantu dan merawat mangsa serangan rejim Zionis.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Raja Ahmad Raja Yaacob berkata misi kemanusiaan yang bakal disalurkan termasuk bekalan ubat-ubatan, makanan, pakaian dan kewangan.
Dalam kenyataannya, beliau berkata misi itu akan diketuai ketuanya Suhaizan Kaiat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri atau pada Ogos depan.
Mereka turut mensasarkan kutipan sebanyak RM500,000 dalam siri jelajah dewan itu ke setiap negeri sebelum diserahkan kepada wakil penduduk Gaza, tambahnya.
"Apa yang diharapkan, misi ini sebagai melahirkan rasa simpati dan kebersamaan rakyat Malaysia terhadap umat Islam Gaza yang dizalimi rejim Israel.
"Semoga ia juga membuka mata pemimpin negara umat Islam agar bangkit menentang kekejaman rejim melalui pelbagai tindakan agresif sebagai menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini," katanya.
Dilaporkan jumlah mangsa terkorban meningkat kepada 204 orang,manakala 1,500 lagi cedera dalam serangan terbaru Israel ke atas Gaza pada awal Rabu (waktu Gaza).
Sementara itu, Sinar Harian hari ini melaporkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan menghantar beberapa wakilnya menyertai misi kemanusiaan Gaza bagi membantu rakyat Palestin.
“Mungkin seminggu atau dua minggu lagi kita akan berlepas kita akan bawa bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan, pakaian dan apa saja yang diperlukan," katanya seperti dilapor akhbar itu.

