MB: Laporan kajian impak Kidex diterima
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telahpun menerima laporan kajian untuk Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) dari Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).
Khalid berkata MBPJ akan meneliti laporan kajian impak trafik (TIA) dan alam sekitar (EIA) itu sebelum memberi sebarang kebenaran untuk membina lebuh raya kontroversi itu.
"Saya diberitahu, LLM sudah serahkan (laporan) kepada MBPJ. Keputusan akan keluar dalam masa dua minggu," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Shah Alam hari ini.
Khalid berkata LLM akan turut bersama MBPJ untuk memberi penerangan kepada MP dan ADUN Selangor bagi kawasan yang terlibat dalam projek Kidex.
“Saya tiada rekod rasmi (tarikh taklimat pada wakil rakyat). Saya diberitahu LLM telah memberikan laporan kepada MBPJ dan akan bertemu ADUN dan MP kawasan yang terlibat," kata beliau.
Kenyataannya itu menjelaskan perjalanan siasatan oleh satu jawatankuasa khas kerajaan Selangor ke atas dakwaan bahawa dua projek lebuh raya kontroversi dimasukkan ke dalam pelan tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya tanpa mengikut proses sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Terpilih Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata siasatan itu melibatkan Kidex dan satu lagi projek cadanfan iaitu Lebuh raya Serdang-Kinrara-Putrajaya (Skip).
Siasatan juga melibatkan dakwaan bahawa pengezonan kawasan di USJ10 dan USJ7 dipinda tanpa mengikut prosedur sewajarnya.

