Exco: Air tasik lombong tampung keperluan raya
Kerajaan Selangor menggiatkan usaha mengepam air dari bekas tasik lombong ke Sungai Selangor bagi memastikan bekalan untuk tempoh perayaan tidak terjejas.
Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi berkata 20 buah pam yang dipasang di Bestari Jaya itu beroperasi selama 24 jam sehari dan diawasi sepanjang musim perayaan ini.
"Walaupun dijangkakan terdapat pengurangan air ketika awal musim perayaan kerana ramai warga lota pulang ke kampung, operasi pengepaman air akan berterusan bagi memastikan Loji Penapisan Air (LPA) beroperasi secara optimum," katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Exco, Yunus berkata paras air empangan di seluruh empangan di Selangor dikesan menyusut di antara satu hingga tiga peratus sejak minggu lalu.
Beliau berkata ia juga bagi menghadapi penyusutan paras empangan Sungai Selangor sebanyak lebih 1.7 peratus sejak bulan lalu.
"Operasi ini berjalan 24 jam dan diawasi Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd.
"Ini bagi memastikan kuantiti air Sungai Selangor memenuhi keperluan muka sauk dan LPA terutamanya di musim perayaan.
Sementara itu pada sidang media sama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan jambatan ketiga Klang akan mula dibina bulan hadapan dan dijangka siap pada Julai 2016.
Khalid berkata Syarikat Cergas Murni memenangi tender terbuka untuk jambatan berkenaan dengan tawaran harga berjumlah hampir RM200 juta.
"Proses tender terbuka dibuka kepada umum dari 19 Mac hingga 22 April 2014 dan sebanyak 23 syarikat kontraktor mengambil bahagian," katanya.

