Pengurus jualan GLC ditahan disyaki rasuah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus jualan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam industri aksesori dan perkhidmatan kenderaan yang disyaki menyeleweng dana projek syarikat bernilai lebih RM1.7 juta.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pagi semalam dan dibawa ke ibu pejabat SPRM untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata siasatan awal SPRM mendapati wujud kesalahan menerima rasuah bernilai lebih RM1.7 juta apabila beliau mencadangkan kontraktor terdiri daripada anggota keluarga dan kenalan bagi projek pengubahsuaian bengkel kenderaan.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata setiap syarikat yang berjaya memperoleh projek pengubahsuaian bengkel itu didakwa telah membuat bayaran rasuah kepadanya, nilainya antara RM70,000 hingga RM260,000 sebagai balasan pelantikan sebagai kontraktor bagi projek tersebut.
Mohd Jamidan berkata projek pengubahsuaian itu berkaitan sebuah program yang dinamakan 'Program Pennzoil; Flagship Workshop' melibatkan keperluan pengubahsuaian terhadap bengkel terbabit.
Beliau berkata SPRM turut menjalankan siasatan secara menyeluruh dan merekodkan keterangan beberapa pegawai kanan lain GLC bagi membantu siasatan kes itu.
"SPRM percaya pegawai kanan lain di GLC ini yang terlibat dalam sindiket ini juga bakal dihadapkan ke mahkamah apabila seluruh aspek siasatan disempurnakan SPRM," katanya.
- Bernama

