Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kedudukan dan hak-hak non-Muslim dalam syariah yang dibentuk oleh para ulama, terutamanya pendiri-pendiri mazhab, sebahagiannya bermasalah.

Maka tentulah tidak mudah apabila kita berwacana tentang negara yang berpaksikan syariah, di mana agama diatur dan dilindungi oleh negara. Ketika itu, kita tidak lagi berbincang tentang negara bangsa, sebaliknya negara teokrasi.

Kita seharusnya merasa bimbang sekiranya soal negara teokrasi dibangkitkan kembali di tengah-tengah masyarakat majmuk.

Setakat ini, perjuangan ke arah negara teokrasi digerakkan oleh sekelompok gerakan atau badan politik yang menjenamakan diri mereka sebagai  gerakan yang mengembalikan ketulenan ajaran agama.

Sememangnya kita merasa terancam dengan tindakan mereka yang mula menggoncang asas negara ini. Keamanan dan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum, berbilang agama, dan berbilang budaya sedang dicabar oleh politik berasaskan etnik dan politik perkauman yang terus menggugat proses pembinaan sebuah negara yang inklusif.

Soal hak kewarganegaraan tidak setara dan tidak berasaskan kerangka Hak Asasi Manusia PBB yang dikemukakan oleh sesetengah pihak akan memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan politik, pemerintahan dan pengembangan perlembagaan.

Tindakan mereka itu dibuat demi menjaga hak dan kepentingan kelompok mereka, itu boleh kita fahami. Bagi pihak yang lain pula, mereka ingin menjaga kelompok yang lebih besar, iaitu kelompok yang berasaskan kewarganegaraan.

Dalam ungkapan lain, keanggotaan dalam kelompok “warga Malaysia” yang lebih besar mesti diutamakan mengatasi keanggotaan dalam kelompok kaum atau agama tertentu.

NEGARA-KU boleh dikatakan lahir daripada keresahan melihat pergeseran yang berlaku dalam kelompok yang besar itu akibat provokasi kelompok-kelompok kecil.

Merawat hubungan antaragama

Antara yang menjadi punca konflik ketika ini ialah apabila hegemoni kefahaman agama disuburkan dalam wacana masyarakat. Hegemoni ini tidak membantu meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kemajmukan agama dan budaya.

Aliran agama tertentu diangkat menjadi aliran yang berkuasa dan mendominasi pembentukan masyarakat, manakala perbezaan dilawan dan disekat habis-habisan.

Maka muncullah kaum fundamentalis Islam yang mengharamkan atau menyekat segala bentuk usaha yang, pada pandangan mereka, menggugat ketulenan agama, khususnya Islam.

Para fundamentalis Islam yang gagal meletakkan diri dalam kehidupan bermasyarakat yang majmuk mencetuskan debat keagamaan dan perkauman yang berlawanan dengan semangat meraikan kepelbagaian yang dibawa oleh agama seperti Islam.

Dalam menangani hubungan antara-agama di Malaysia, ayat-ayat Quran berkenaan non-Muslim lebih kerap digunakan untuk mendiskriminasi.

Dalam keadaan ini, malangnya, kalangan Muslim reformis menghadapi kesukaran untuk menempatkan ayat-ayat Quran berkenaan dalam konteks keberanekaan agama masa kini untuk mengembalikan gambaran Islam yang membawa rahmah dan menolak kekerasan.

Pihak yang tidak bersetuju dengan kerjasama dengan non-Muslim misalnya berhujah bahawa orang kafir tidak akan senang atau redha dengan Islam, dengan merujuk kepada ayat:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim." (5:51)

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka." (2:120)

Pembacaan secara literal akan menimbulkan permasalahan kerana ayat-ayat itu membuktikan sikap tidak bertolak-ansur Islam. Sedangkan ayat-ayat itu boleh ditafsirkan dengan cara yang lebih baik, misalnya seperti yang dibuat oleh Tariq Ramadan dalam buku Western Muslims and the Future of Islam berkenaan ayat 2:120 itu.

Apabila beliau menjelaskan bahawa orang Yahudi dan Kristian juga yakin dengan kebenaran risalah mereka sebagaimana orang Islam dan bahawa kefahaman dapat dibentuk apabila kita berkongsi pengalaman iman dan kebenaran.

Justeru itu, untuk membangunkan Malaysia yang damai daripada segala polemik yang membawa kepada ketegangan kaum dan agama, para intelektual muslim seharusnya membuka wacana yang lebih memberi tumpuan terhadap persamaan antara agama, kaum, dan budaya, bukannya perbezaan.

Dalam soal keagamaan misalnya, tafsir teks agama yang terlalu eksklusif dan cenderung mendiskriminasi agama lain mestilah disemak dan dinilai kembali berdasarkan ayat-ayat Quran yang inklusif.

Sombong keagamaan

Antara perkara yang paling ditentang oleh agama, khususnya Islam, adalah sifat sombong, termasuk sombong keagamaan. Kesombongan dalam beragama telah sering menjadi sebab terjadinya polemik dan pertikaian.

Hal ini boleh kita lihat pada kelompok yang menentang Negara-Ku atas nama Islam dan Melayu ketika ini.

Dalam konteks Malaysia yang sangat kompleks dan majmuk, cara pandang keagamaan yang toleran dan pluralis sangat diperlukan untuk menjaga masyarakat agar tidak tenggelam dalam jurang pertikaian dan kekerasan.

Agama perlu ditonjolkan sebagai unsur penyatu yang mampu melahirkan tindakan manusia yang positif dan sumber hikmah yang membawa kepada dialog peradaban yang sopan dan jujur.

Tafsiran agama yang meraikan kepelbagaian pula akan membantu kita dalam usaha mengangkat semangat setiakawan dan keadilan, ke arah negara masa hadapan yang lebih sempurna.


MOHD SYAZREEN ABDULLAH aktivis Lingkaran Islam Traditional (LIT).

Lihat Komen
ADS