Wanita PKR tempelak Hafarizam isu haid
Pemimpin Wanita PKR menempelak kenyataan Peguam Umno Datuk Hafarizam Harun yang membayangkan wanita tidak boleh menjadi menteri besar Selangor kerana 'uzur syar'ie' walaupun Undang-undang Tubuh Negeri Selangor tidak meletakkan syarat jantina bagi jawatan itu.
Ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menganggap kenyataan Hafarizam itu mewakili "sikap zaman batu dan ketinggalan zaman" memandangkan terdapat contoh pemimpin wanita yang mentadbir negara seperti di Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Turki.
"Sikap zaman batu ini menghantar isyarat yang salah kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
"Kedatangan haid ialah satu perkara semula jadi dalam kehidupan wanita. Tiada yang salah atau kotor dengan kitaran ini yang membenarkan kehidupan baru dibawa ke dunia ini," katanya lagi.
Hafarizam dilapor berkata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak sesuai menjadi menteri besar Selangor dengan membayangkan kesukaran jika beliau mengiringi Sultan Selangor dalam majlis keagamaan ketika dalam haid.
Mengulas lanjut, Zuraida - yang akan mempertahankan jawatan ketua Wanita PKR - berkata semua sekatan dan larangan terhadap wanita haid yang biasa diamalkan hanyalah perbezaan tafsiran ulama.
"Sudah tentu, kehidupan peribadi sesiapapun tiada kaitan dengan keupayaan wanita untuk menjadi menteri besar atau mengiringi Sultan pada majlis rasmi," katanya.
Bahan persendaan
Sementara itu, Exco Selangor Rodziah Ismail menyatakan pendapat Hafarizam itu bersifat seksis, menjadikan bahan persendaan dan membentuk imej negatif terhadap Malaysia.
Sehubungan itu, Rodziah berkata tiada halangan bagi pemimpin wanita di mana-mana peringkat demi melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama malah mampu bersaing dengan pihak lain.
"Mereka boleh diletakkan di mana-mana posisi hatta di peringkat paling tinggi sekalipun dan boleh berjaya melaksanakan amanah dengan terbaik, bahkan lebih baik dari setengah lelaki," katanya.
Menurutnya lagi, alasan Hafarizam tidak dapat diterima kerana Al-Quran telah lama diiktiraf wanita sebagai pemimpin seperti kisah Ratu Balqis yang menerajui kerajaan Saba'.
"Kisah beliau (Balqis) ditonjolkan secara khusus dalam al-Quran, sebanyak 24 ayat, dan negara yang diperintah beliau dijadikan tajuk sebuah surah dalam al-Quran.
"Beliau berjaya mentadbir negara Saba’ dan mengurus kepentingan serta kesejahteraan rakyat Saba’ dengan cemerlang," katanya dalam satu kenyataan.

