Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berpendapat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bukanlah personaliti kedua Sultan Selangor tetapi hanya membantu baginda dalam menjalankan kuasa sebagai ketua agama Islam.

Oleh itu, kritikan ke atas MAIS tidak semestinya bermaksud sebagai kritikan ke atas sultan, kata Aziz dalam satu emel kepada Malaysiakini.

“Terutamanya apabila tindakan yang diambil oleh MAIS melanggar perlembagaan persekutuan dan mencampuri hak orang bukan Islam,” katanya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hari Selasa lalu menyatakan kemurkaan ke atas MP Shah Alam Khalid Samad kerana mencadangkan untuk menghapuskan kuasa eksekutif MAIS.

Bagaimanapun, Khalid berhak membangkitkan kebimbangannya, bahawa beliau mengkritik MAIS dan bukannya sultan, kata Aziz.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa usaha untuk menghapuskan kuasa MAIS melalui pindaan mungkin bukan jalan penyelesaian terbaik.

“Lebih baik jika MAIS dibawa ke mahakmah untuk semakan kehakiman untuk melihat jika tindakannya masih dalam ruang lintup kuasa berkanunnya.

“Ini harus dilakukan di mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah,” katanya lagi.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata tiada salahnya bila Sultan Sharafuddin menyatakan kemurkaan ke atas Khalid atas kenyataan tersebut.

“Tiada salahnya, dari pandangan perundangan, terutama apabila melibatkan agama yang di bawah bidang kuasa baginda.

“Tapi masalahnya ialah bila komen tersebut mungkin tidak betul, di sinilah letaknya kebijaksanaan lazim bahawa istana tidak bercakap di khalayah umum mengikut lagak ahli politik,” kata Aziz.

[Baca berita penuh]